SURAT PAULUS YANG PERTAMA
KEPADA JEMAAH DI
TESALONIKA
Kata Pengantar
Tesalonika adalah ibu kota Makedonia, wilayah yang dikuasai oleh Empayar Roma. Paulus memulakan jemaah di Tesalonika, setelah dia meninggalkan Filipi. Tetapi tidak lama kemudian, orang Yahudi yang iri hati terhadap Paulus, menentang usaha Paulus untuk memberitakan ajaran Kristian kepada orang bukan Yahudi yang menunjukkan minat kepada agama Yahudi. Paulus terpaksa meninggalkan Tesalonika dan pergi ke Berea. Setelah Paulus tiba di Korintus, dia menerima surat daripada Timotius, sahabat dan rakan kerjanya, yang memberitahukan keadaan jemaah di Tesalonika.
Surat Paulus yang Pertama kepada Jemaah di Tesalonika ditulis untuk menggalakkan dan meneguhkan orang Kristian di situ. Paulus bersyukur kerana menerima berita tentang iman dan kasih mereka. Dia mengingatkan mereka tentang kehidupannya sendiri ketika bersama-sama mereka. Kemudian Paulus menjawab pertanyaan-pertanyaan jemaah tentang kedatangan semula Kristus. Jika seorang Kristian meninggal sebelum Kristus datang semula, dapatkah orang itu beroleh hidup kekal dan sejati daripada Kristus? Bilakah Kristus akan datang kembali? Paulus menasihati mereka supaya terus bekerja dengan tenang, sambil menanti-nantikan kedatangan Kristus dengan penuh harapan.
Kandungan
Pendahuluan 1.1
Kesyukuran dan Pujian 1.2—3.13
Nasihat tentang Kelakuan Orang Kristian 4.1-12
Penjelasan tentang Kedatangan Semula Kristus 4.13—5.11
Nasihat-Nasihat Terakhir 5.12-22
Penutup 5.23-28
1
Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi milik Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus.
Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. +
Kehidupan dan Iman Orang Tesalonika
Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua. Setiap kali kami berdoa kepada Allah, kami sentiasa mendoakan kamu. Apabila kami berdoa kepada Allah dan Bapa kita, kami mengingat bagaimana perbuatan kamu menunjukkan kepercayaan kamu kepada Kristus, bagaimana kamu mengasihi orang lain sehingga bekerja untuk membantu mereka, dan bagaimana kamu berharap dengan teguh kepada Tuhan kita Yesus Kristus. Saudara-saudaraku, kami tahu bahawa Allah mengasihi kamu dan sudah memilih kamu menjadi milik-Nya sendiri. Hal itu demikian, kerana kami mengisytiharkan Berita Baik kepada kamu, bukan dengan kata-kata sahaja, tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh AllahA dan dengan keyakinan bahawa Berita Baik itu benar. Kamu mengetahui cara hidup kami ketika kami bersama-sama kamu dan semua itu untuk kebaikan kamu. Kamu mengikut teladan kami dan teladan Tuhan. Meskipun kamu menanggung banyak penderitaan, kamu menyambut perkhabaran itu dengan kegembiraan yang datang daripada Roh Allah. + Oleh itu kamu menjadi teladan kepada semua orang Kristian di Makedonia dan Akhaya. Berita tentang Tuhan tersebar sampai ke Makedonia dan Akhaya, kerana kamu. Orang di mana-mana sahaja juga mendengar berita tentang kepercayaan kamu kepada Allah. Oleh itu kami tidak perlu berkata apa-apa lagi. Semua orang berkata bahawa kamu menyambut kami dengan baik ketika melawat kamu dahulu. Mereka berkata bahawa kamu tidak mahu menyembah berhala lagi, tetapi datang kepada satu-satunya Allah yang hidup untuk mentaati dan menyembah Dia. 10 Mereka juga berkata bahawa kamu menantikan kedatangan Anak Allah dari syurga, iaitu Yesus yang sudah dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Yesuslah yang menyelamatkan kita daripada kemurkaan Allah yang akan datang.
+ 1:1 Kis 17.1 A 1:5 Roh Allah; Harfiah: Roh Kudus. + 1:6 Kis 17.5-9