Raja Daud dan Batsyeba
11
Raja-raja biasanya pergi berperang pada musim bunga. Pada musim bunga tahun itu, Raja Daud menyuruh Yoab maju berperang bersama dengan para pegawai tentera dan segenap tentera Israel. Mereka mengalahkan orang Amon dan mengepung kota Raba, tetapi Raja Daud tinggal di Yerusalem. +
Pada suatu petang, setelah Raja Daud bangun daripada tidur, baginda pergi berjalan-jalan di bumbung istana yang rata. Dari situ baginda nampak seorang wanita sedang mandi, dan wanita itu sangat cantik. Kemudian Raja Daud menyuruh orang menanyakan siapa wanita itu. Raja Daud diberitahu bahawa wanita itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria orang Het. Raja Daud menyuruh orang menjemput Batsyeba. Setelah Batsyeba tiba di istana, Raja Daud berseketiduran dengan dia. (Pada masa itu Batsyeba baru sahaja selesai melakukan upacara penyucian diri selepas haid.) Kemudian Batsyeba pulang ke rumahnya. Beberapa waktu kemudian Batsyeba mendapati dirinya hamil, lalu dia mengirim khabar tentang hal itu kepada Raja Daud.
Kemudian Raja Daud mengirim perintah kepada Yoab, “Suruhlah Uria orang Het itu datang menghadap beta.” Lalu Yoab menyuruh Uria pergi menghadap Raja Daud. Apabila Uria sampai, Raja Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab dan tentera Israel, dan keadaan peperangan. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah sebentar.” Setelah Uria meninggalkan istana, Raja Daud mengirim hadiah ke rumah Uria. Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Malam itu dia tidur di pintu gerbang istana bersama-sama para pengawal raja. 10 Apabila Raja Daud diberitahu bahawa Uria tidak pulang ke rumahnya, baginda bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau baru pulang dari perjalanan jauh? Mengapa engkau tidak pulang ke rumahmu?”
11 Uria menjawab, “Tentera Israel dan Yehuda sedang berjuang di medan peperangan, dan Tabut Perjanjian TUHAN ada bersama-sama mereka. Yoab, panglima kami dan para pegawai tenteranya juga sedang berkhemah di padang terbuka. Bagaimana mungkin hamba pulang, makan minum, dan tidur dengan isteri hamba? Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak akan melakukan hal itu!”
12 Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika demikian, tinggallah di sini hari ini. Esok beta akan mengizinkan engkau pulang.” Oleh itu Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu. 13 Keesokan harinya Raja Daud menjemput Uria ke jamuan malam dan membuatnya mabuk. Tetapi malam itu juga Uria tidak pulang ke rumahnya, melainkan tidur beralaskan selimutnyau di dalam bilik pengawal istana.
14 Esok paginya Raja Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab, dan menitipkan surat itu kepada Uria. 15 Demikianlah kandungan surat itu, “Suruhlah Uria pergi ke barisan hadapan, tempat pertempuran yang paling sengit. Setelah itu perintahkanlah pasukanmu undur tanpa pengetahuan Uria, supaya Uria terbunuh.” 16 Maka sementara Yoab mengepung kota itu, dia menyuruh Uria pergi ke tempat yang setahunya dikawal ketat oleh musuh. 17 Apabila musuh keluar dari kota untuk menyerang pasukan Yoab, beberapa orang pegawai tentera Raja Daud terbunuh, termasuk Uria.
18 Kemudian Yoab mengirim laporan kepada Raja Daud untuk memberitahu baginda tentang keadaan peperangan. 19 Inilah perintah Yoab kepada utusan itu, “Setelah engkau menceritakan segalanya tentang pertempuran itu, 20 mungkin raja akan murka dan bertitah, ‘Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan kota itu ketika berperang? Tidakkah kamu tahu bahawa musuh tentu akan memanah kamu dari atas tembok kota? 21 Tidakkah kamu ingat bagaimana Abimelekh anak Gideon terbunuh dahulu? Dia terbunuh kerana terkena batu kisaran yang dilemparkan oleh seorang perempuan dari tembok kota di Tebes. Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan tembok kota?’ Jika raja bertanya demikian, katakanlah bahawa Uria, pegawai tentera raja juga terbunuh.” +
22 Utusan itu pergi menghadap Raja Daud lalu melaporkan apa yang telah diperintahkan oleh Yoab. 23 Dia berkata, “Musuh lebih kuat daripada kami. Mereka keluar dari kota dan berperang dengan kami di padang, tetapi kami dapat memukul mundur mereka sehingga balik ke pintu gerbang kota. 24 Kemudian mereka memanah kami dari atas tembok kota. Demikianlah beberapa orang pegawai tentera tuanku terbunuh. Uria, pegawai tentera tuanku, juga terbunuh.”
25 Raja Daud berkata kepada utusan itu, “Kuatkanlah hati Yoab. Katakanlah kepadanya, ‘Jangan kecil hati, kerana memang tidak dapat dipastikan siapa yang akan terbunuh di medan peperangan.’ Suruhlah dia melancarkan serangan yang lebih kuat terhadap kota itu sampai kota itu ditaklukkan.”
26 Apabila Batsyeba mendengar bahawa suaminya telah terbunuh, dia berkabung baginya. 27 Setelah habis masa berkabung, Raja Daud menjemput Batsyeba ke istana, lalu dia menjadi isteri Raja Daud. Beberapa bulan kemudian, Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki, tetapi TUHAN tidak berkenan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Raja Daud.
+ 11:1 1 Taw 20.1 u 11:13 beralaskan selimutnya; atau di atas tempat tidurnya. + 11:21 Hak 9.53