Ucapan Raja Daud yang Terakhir
23
Raja Daud anak Isai adalah orang yang dijadikan orang besar oleh Allah, dan telah dilantik menjadi raja oleh Allah Yakub. Raja Daud telah menggubah banyak lagu yang indah bagi Israel, dan inilah ucapan baginda yang terakhir:
Roh TUHAN berfirman melalui aku;
firman-Nya ada pada bibirku.
Allah Israel sudah berfirman;
pelindung Israel berfirman kepadaku,
“Raja yang memerintah dengan adil,
yang memerintah dengan ketaatan kepada Allah,
raja itu seperti sinar fajar merekah
pada awal pagi ketika langit cerah.
Dia seperti sinar matahari selepas hujan,
yang membuat rumput hijau indah berkilauan.”
Demikianlah Allah akan memberkati keturunanku,
kerana Dia telah membuat perjanjian yang kekal dengan aku,
perjanjian yang tidak akan dibatalkan,
janji yang tidak akan diubah.
Itulah sahaja hasrat hatiku;
itulah yang akan menjadi kemenanganku,
dan Allah pasti akan menepatinya.
Tetapi orang yang tidak mentaati Allah
seperti duri yang dicampakkan.
Tangan orang tidak dapat memegangnya;
tiada seorang pun mahu menyentuhnya
tanpa menggunakan batang besi, atau tombak.
Orang seperti itu akan dibakar habis.
Askar-Askar Raja Daud yang Terkenal
(1 Taw 11.10-41)
Inilah nama para askar Raja Daud yang terkenal: Yang pertama ialah Ishbaal, orang Hakhmoni, pemimpin “Kumpulan Tiga.”v Dia pernah berperang melawan 800 orang. Dia membunuh mereka semua dengan tombaknya dalam satu pertempuran.
Orang kedua dalam “Kumpulan Tiga” ialah Eleazar anak Dodo, daripada puak Ahohi. Pada suatu hari, Eleazar dan Raja Daud bertempur dengan orang Filistin yang sudah berkumpul untuk berperang. Pada waktu itu pasukan Israel sudah berundur, 10 tetapi Eleazar terus berjuang melawan orang Filistin sampai tangannya menjadi kejang, dan dia tidak dapat melepaskan pedangnya. Pada hari itu TUHAN memperoleh kemenangan yang besar. Tentera Israel yang telah berundur, kembali ke tempat Eleazar bertempur, lalu menanggalkan baju perang daripada mayat-mayat di situ.
11 Orang ketiga dalam “Kumpulan Tiga” ialah Sama anak Age, dari Harar. Pada masa itu orang Filistin telah berkumpul di Lehi, di sebuah ladang kacang merah. Tentera Israel lari daripada orang Filistin, 12 tetapi Sama tetap bertahan dan bertempur di ladang itu. Dia membunuh dan mengalahkan orang Filistin sehingga dia berjaya mempertahankan ladang itu. Demikianlah TUHAN memperoleh kemenangan yang besar pada hari itu.
13 Apabila menjelang musim menuai, tiga orang daripada “Kumpulan Tiga Puluh” turun ke Gua Adulam. Pada masa itu Raja Daud berada di dalam gua itu. Sepasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim. 14 Pada masa itu Raja Daud berada di suatu bukit yang mempunyai kubu, dan sepasukan orang Filistin sudah menduduki Betlehem. 15 Raja Daud merindukan kampung halamannya, lalu baginda berkata, “Alangkah baiknya jika ada orang yang memberi beta minum air dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!” 16 Mendengar kata-kata itu, tiga orang askar yang terkenal itu menembusi pertahanan orang Filistin di Betlehem. Mereka menimba air dari perigi itu lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan baginda mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN. 17 Raja Daud bertitah, “Ya TUHAN, aku tidak sanggup minum air ini. Jika aku meminumnya, seolah-olah aku minum darah tiga orang yang mempertaruhkan nyawa mereka!” Raja Daud sama sekali tidak mahu minum air itu.
Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu.
18 Adik Yoab, iaitu Abisai (ibu mereka ialah Zeruya) ialah ketua pasukan “Kumpulan Tiga Puluh.” Abisai pernah berperang dengan tiga ratus orang dan membunuh mereka semua dengan tombaknya. Oleh itu dia menjadi terkenal di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh.”w 19 Dialah yang paling masyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh” dan dia menjadi pemimpin mereka, tetapi dia tidak sehebat “Kumpulan Tiga.”
20 Seorang askar lain yang termasyhur ialah Benaya anak Yoyada dari Kabzeel. Dia sangat berani, dan pernah membunuh dua orang pahlawan gagah dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia masuk ke dalam gua dan membunuh seekor singa. 21 Dia pernah juga membunuh seorang Mesir, yang berbadan besar dan bersenjatakan tombak. Dia menyerang orang itu dengan belantannya. Lalu dia merampas tombak raksasa itu dan membunuhnya dengan tombak itu. 22 Demikianlah jasa Benaya, salah seorang daripada “Kumpulan Tiga Puluh”. 23 Dalam kumpulan itu Benaya ialah yang terkemuka, tetapi dia tidak sehebat “Kumpulan Tiga”. Raja Daud melantik dia menjadi ketua pengawal peribadinya.
24-39 Anggota-anggota lain daripada “Kumpulan Tiga Puluh” itu ialah:
Asael, adik Yoab
Elhanan anak Dodo orang Betlehem
Sama dan Elika orang Harod
Heles orang Palti
Ira anak Ikes orang Tekoa
Abiezer orang Anatot
Mebunai orang Husa
Zalmon orang Ahohi
Maharai orang Netofa
Heleb anak Baana orang Netofa
Itai anak Ribai orang Gibea di wilayah suku Benyamin
Benaya orang Piraton
Hidai dari lembah-lembah Gaas
Abialbon orang Araba
Azmawet orang Bahurim
Elyahba orang Saalbon
Anak-anak Yasyen
Yonatan
Sama orang Harari
Ahiam anak Sarar orang Harari
Elifelet anak Ahasbai orang Maakha
Eliam anak Ahitofel orang Gilo
Hezrox orang Karmel
Paerai orang Arbi
Yigal anak Natan orang Zoba
Bani orang Gad
Zelek orang Amon
Naharai orang Beerot, pembawa senjata Yoab
Ira dan Gareb orang Yetri
Uria orang Het.
Semuanya ada 37 orang askar yang termasyhur.
v 23:8 Sebuah terjemahan kuno: “Kumpulan Tiga.“ Naskhah Ibrani: yang ketiga. w 23:18 Sebuah terjemahan kuno: “Kumpulan Tiga Puluh.” Naskhah Ibrani: “Kumpulan Tiga”. x 23:24-39 Hezro atau Hezrai.