14
Yahya dibunuh
Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Isa. Herodes berkata kepada orang di bawahnya, ‘Ini tentu Yahya Pengimad. Dia telah bangkit daripada kematian! Sebab itulah dia ada kuasa melakukan mukjizat.’
Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus. Yahya telah memberitahu Herodes, ‘Tuan bersalah mengahwini Herodias’ Herodes hendak membunuh Yahya tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.
Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis. Oleh sebab terlalu menikmati tarian itu, Herodes bersumpah akan memberikan apa saja yang diminta oleh gadis itu. Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yahya Pengimad di atas talam pada waktu itu juga. Walaupun dengan berat hati, Herodes terpaksa menunaikan permintaan itu kerana telah bersumpah di hadapan majlisnya. 10 Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yahya di penjara. 11 Kepala Yahya diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya. 12 Selepas itu pengikut Yahya datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Isa tentangnya.
Isa memberi makan kepada lima ribu orang
13 Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota. 14 Setelah Isa turun dari perahu dan melihat mereka, hati-Nya berasa kasihan lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit di kalangan mereka.
15 Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.’
16 Tetapi Isa menjawab, ‘Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.’
17 Kata para pengikut Isa, ‘Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.’
18 Isa berkata, ‘Bawalah makanan itu kepada-Ku.’ 19 Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Dia mengambil makanan itu dan menengadah ke langit mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. 20 Setiap orang makan sehingga kenyang dan lebihan yang dikumpulkan oleh para pengikut Isa sebanyak dua belas bakul. 21 Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.
Isa berjalan di atas air
22 Setelah itu Isa menyuruh para pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 23 Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri. 24 Ketika itu perahu yang dinaiki oleh para pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.
25 Antara dinihari dan pagi, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. 26 Apabila mereka melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, ‘Hantu!’
27 Isa segera berkata kepada mereka, ‘Tenanglah. Aku Isa. Jangan takut.’
28 Petrus berkata, ‘Junjungan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.’
29 ‘Marilah,’ sahut Isa.
Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa. 30 Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. ‘Junjungan! Selamatkan aku!’ serunya.
31 Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, ‘Engkau yang kurang percaya, mengapa engkau ragu?’
32 Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. 33 Selepas itu para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkaulah Putera Allah!’
34 Mereka menyeberang ke Genesaret. 35 Orang di situ mengenal Isa lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya. 36 Mereka merayu Isa supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Dengan sentuhan itu sahaja pun mereka sembuh.