Ibrani  
 1
Allah berfirman melalui Putera-Nya 
 1 Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi.  2 Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Putera-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Putera-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta.  3 Putera itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga.  4 Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka. 
 5 Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: 
‘Engkau Putera-Ku, 
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu’? 
Dan juga: 
‘Aku akan menjadi Bapa-Nya, 
dan Dia akan menjadi Putera-Ku’? 
 6 Selanjutnya, apabila Allah menghantar semula putera sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya: 
‘Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.’ 
 7 Dan tentang para malaikat, Dia berfirman: 
‘Dia menjadikan para malaikat-Nya angin, 
dan para pelayan-Nya nyala api.’ 
 8 Tetapi tentang Putera itu Dia berfirman: 
‘Takhta-Mu, Ya Allah, 
kekal selama-lamanya; 
Tongkat kebenaran adalah tongkat 
kerajaan-Mu. 
 9 Engkau telah mencintai kebenaran dan 
membenci kejahatan; 
Oleh itu Allah, Tuhan-Mu, 
telah mengurapi-Mu 
dengan minyak kebahagiaan lebih 
daripada teman-teman-Mu.’ 
 10 Dan: 
‘Pada mulanya, Engkau, Tuhanku, 
yang meletakkan asas bumi, 
dan seluruh langit adalah hasil 
kerja tangan-Mu; 
 11 Bumi dan langit akan binasa, 
tetapi Engkau kekal; 
dan segalanya akan menjadi 
usang seperti pakaian; 
 12 Seperti jubah, Engkau akan 
menggulungnya; 
seperti baju yang ditukar, 
semuanya akan diubah. 
Tetapi Engkau tetap sama, 
dan zaman-Mu tidak berkesudahan.’ 
 13 Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: 
‘Duduklah di sebelah kanan-Ku, 
sehingga Aku menjadikan 
musuh-Mu alas kaki-Mu’? 
 14 Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?