Raja Belsyazar, Putra Nebukadnezar Mengadakan Jamuan Makan
5
Pada suatu masa, Raja Belsyazar mengundang seribu orang pembesarnya ke jamuan makan yang besar dan mereka minum wain bersama-sama. Dalam keadaan mabuk, Raja Belsyazar memberikan perintah untuk mengambil mangkuk-mangkuk yang dibuat daripada emas dan perak yang dirampas ayahandanya,j Raja Nebukadnezar dari Rumah TUHAN di Yerusalem. Raja Belsyazar meminta mangkuk-mangkuk itu agar baginda, para pembesarnya, serta semua isteri dan gundik raja dapat minum dari mangkuk-mangkuk itu. Dengan serta-merta mangkuk-mangkuk itu dibawa masuk, dan mereka semua minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu. Sambil minum, mereka memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu.
Tiba-tiba terlihat tangan manusia, dan tangan itu mula menulis pada tembok istana, di bahagian yang paling terang kena sinar pelita. Raja Belsyazar melihat tangan yang sedang menulis itu. Raja begitu takut sehingga mukanya pucat dan lututnya gementar. Raja berteriak memanggil para ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum. Apabila mereka menghadap, raja bertitah kepada mereka, “Sesiapa yang dapat membaca tulisan itu serta mentafsirkannya akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran. Orang itu akan dilantik menjadi penguasa ketigak dalam kerajaan ini.” Para penasihat raja melangkah ke depan, tetapi tidak seorang pun dapat membaca tulisan itu ataupun menjelaskan maknanya. Oleh sebab ketakutan, muka Raja Belsyazar bertambah pucat, dan para pembesarnya tidak tahu apa yang harus dilakukan.
10 Bonda rajal mendengar bunyi riuh yang disebabkan oleh raja dan para jemputannya. Baginda masuk ke dalam dewan jamuan itu dan bertitah, “Daulat tuanku! Janganlah khuatir sehingga tuanku pucat. 11 Ada seorang dalam kerajaan tuanku yang memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewam yang suci. Pada masa pemerintahan ayahanda tuanku, orang itu telah membuktikan kecerdasan, pengetahuan, dan kebijaksanaan yang seperti kebijaksanaan para dewa. Ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar, melantik dia menjadi ketua semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum. 12 Dia mempunyai kebolehan yang luar biasa. Dia bijak dan pandai mentafsirkan mimpi, menjawab teka-teki, serta menyatakan rahsia. Nama orang itu Daniel, tetapi raja menamakan dia Beltsazar. Panggillah dia. Dia akan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.”
Daniel Mentafsirkan Tulisan itu
13 Dengan segera Daniel dibawa menghadap raja. Raja bertanya kepadanya, “Kamukah Daniel, orang Yahudi buangan yang dibawa dari Yehuda ke sini oleh raja, ayahanda beta? 14 Beta mendengar bahawa kamu memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewan yang suci, dan kamu berpengetahuan, pandai, serta bijak. 15 Para penasihat dan ahli sihir telah disuruh membaca dan mentafsirkan tulisan itu, tetapi mereka tidak dapat. 16 Beta mendengar bahawa kamu dapat mentafsirkan rahsia-rahsia yang dalam dan tersembunyi. Jika kamu dapat membaca dan mentafsirkan tulisan itu, maka kamu akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran, dan kamu akan dilantik menjadi penguasa ketigao dalam kerajaan ini.”
17 Daniel menjawab, “Hamba mohon tuanku menyimpan hadiah tuanku itu untuk tuanku sendiri, atau memberikannya kepada orang lain. Hamba akan membaca dan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.
18 Allah Yang Maha Tinggi telah melantik ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar menjadi raja yang besar, serta memberi baginda kehormatan dan keagungan. 19 Baginda menjadi begitu besar sehingga orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa takut dan gentar kepadanya. Baginda membunuh atau membiarkan seseorang hidup menurut kesukaannya. Baginda meninggikan atau merendahkan sesiapa saja menurut kehendaknya. 20 Tetapi kerana baginda menjadi sombong, keras kepala, dan kejam, baginda diturunkan daripada takhta lalu kehilangan keagungannya. 21 Baginda diusir jauh daripada masyarakat, dan akalnya menjadi seperti akal binatang. Baginda tinggal bersama-sama keldai, makan rumput seperti lembu, dan tidur di lapangan terbuka sehingga tubuhnya dibasahi embun. Akhirnya baginda mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas semua kerajaan manusia, dan Dia memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
22 Tetapi tuanku sendiri, puteranya, tidak merendahkan diri, walaupun tuanku tahu akan segala hal itu. 23 Tuanku telah menentang Tuhan penguasa di syurga. Tuanku telah menggunakan mangkuk-mangkuk yang diambil dari Rumah TUHAN. Tuanku, para pembesar tuanku, semua isteri, dan gundik tuanku telah minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu, serta memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu - dewa-dewa yang tidak dapat melihat, atau mendengar, atau mengetahui apa-apa. Tuanku tidak menghormati Allah yang berkuasa menentukan sama ada tuanku hidup atau mati, dan yang menguasai segala perbuatan tuanku. 24 Itulah sebabnya Allah menyuruh tangan itu menulis tulisan ini.
25 Tulisan itu ialah ‘Dihitung, dihitung, ditimbang, dan dibahagi.’p 26  Dihitung bermakna Allah telah menghitung masa pemerintahan tuanku, dan mengakhirinya. 27  Ditimbang bermakna tuanku telah ditimbang dan ternyata terlalu ringan. 28  Dibahagi bermakna kerajaan tuanku akan terbahagi dan diberikan kepada orang Media dan Persia.”q
29 Pada saat itu juga Raja Belsyazar memerintahkan hamba-hambanya mengenakan pakaian diraja, iaitu jubah ungu pada Daniel, dan kalung emas tanda kebesaran pada lehernya. Raja melantik dia menjadi penguasa ketigar dalam kerajaan itu. 30 Pada malam itu juga Raja Belsyazar, raja Babilonia dibunuh.
j 5:2 Beberapa orang raja memerintah pada masa di antara pemerintahan Raja Nebukadnezar dan Raja Belsyazar. ‘Ayahanda’ boleh bermakna orang sebelumnya, atau nama Nebukadnezar mungkin digunakan untuk Nabinodus. k 5:7 penguasa ketiga; atau salah satu daripada tiga penguasa. l 5:10 Bonda raja; Harfiah: Permaisuri. m 5:11 dewa-dewa; atau Allah. n 5:14 dewa-dewa; atau Allah. o 5:16 penguasa ketiga: Lihat 5.7. p 5:25 ‘Dihitung,...dibahagi.’ Harfiah: ‘MENE, MENE, TEKEL, dan FARSIN.’ q 5:28 Persia: Dalam bahasa Aram perkataan ‘Persia’ berbunyi seperti ‘dibahagi’. r 5:29 penguasa ketiga: Lihat 5.7.