12
Oleh itu ingatlah Pencipta kamuk semasa kamu masih muda, sebelum masa sengsara tiba dan kamu berkata, “Aku tidak menikmati hidup.” Pada masa itu mata kamu tidak lagi terang sehingga cahaya matahari, bulan dan bintang menjadi pudar. Kesusahan bagaikan awan mendung akan membayangi kamu. Lengan yang telah melindungi kamu akan gementar; kaki kamu yang kuat akan menjadi lemah. Gigi kamu terlalu sedikit untuk mengunyah makanan dan mata kamu terlalu rabun untuk melihat dengan jelas. Telinga kamu akan menjadi pekak, sehingga kamu tidak dapat mendengar keriuhan di jalan raya. Kamu tidak akan dapat mendengar bunyi orang mengisar di kilang, atau bunyi muzik. Tidur kamu tidak nyenyak lagi; kamu terjaga setiap kali burung berkicau. Kamu akan takut mendaki tempat yang tinggi, dan kamu harus berjalan dengan hati-hati. Rambut kamu akan beruban, kaki kamu akan kamu seret waktu berjalan, dan segala hasrat dan keinginan hilang.
Kita menuju ke tempat tinggal kita yang terakhir, lalu orang menangis di sepanjang jalan. Rantai perak akan putus dan lampu emas jatuh dan pecah; tali timba di perigi putus dan kendi hancur berkecai. Tubuh kita akan kembali menjadi debu di bumi. Nafas kehidupan kita akan kembali kepada Allah yang memberikannya kepada kita.
Memang semua itu sia-sia, kata Si Pemikir.
Kesimpulan
Tetapi Si Pemikir itu bijak; oleh itu baginda terus mengajar orang hal yang diketahuinya. Baginda mengkaji peribahasa dan menguji kebenarannya. 10 Baginda berusaha untuk menggunakan perkataan yang menyenangkan. Walau bagaimana pun perkataan yang ditulisnya jujur. 11 Ucapan orang bijak seperti tongkat tajam yang digunakan oleh gembala untuk menggiring domba, dan kumpulan peribahasa kukuh seperti paku yang terpasak dalam. Semua itu diberikan oleh Allah, satu-satunya Gembala kita.
12 Hai anakku, ada lagi yang perlu engkau ketahui: kitab tidak habis-habis ditulis, dan terlalu banyak menelaah pelajaran akan meletihkan kamu.
13 Inilah kesimpulan daripada semuanya: Hormatilah Allah, dan taatilah segala perintah-Nya, kerana bagi maksud itulah manusia diciptakan. 14 Allah akan mengadili semua perbuatan kita, yang baik, yang jahat, mahupun yang tersembunyi.
k 12:1 Dalam bahasa Ibrani Pencipta kamu berbunyi seperti kubur kamu.