Cara Menyenangkan Hati Allah
13
Sebagai saudara-saudara Kristian, hendaklah kita sentiasa saling mengasihi. Janganlah segan menyambut orang yang belum kamu kenal ke rumah. Pernah orang berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya. + Ingatlah akan orang yang di dalam penjara, seolah-olah kamu juga di dalam penjara bersama-sama mereka. Ingatlah akan orang yang menderita, seolah-olah kamu juga menderita seperti mereka.
Perkahwinan harus dihormati oleh semua orang. Suami isteri harus setia kepada satu sama lain. Allah akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina.
Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Allah sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.” + Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata,
“Tuhan Penolongku,
aku tidak akan takut.
Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?” +
Janganlah lupa akan pemimpin-pemimpin kamu yang dahulu menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu. Ingatlah bagaimana mereka hidup dan mati, dan contohilah iman mereka. Yesus Kristus tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya. Janganlah biarkan segala macam ajaran ganjil menyesatkan kamu. Hati kita harus dikuatkan oleh rahmat Allah, bukan oleh ketaatan kepada peraturan tentang makanan. Orang yang mentaati peraturan itu tidak mendapat faedah daripadanya.
10 Imam-imam yang bertugas di Khemah Tuhan tidak berhak untuk mendapat bahagian daripada korban di atas mazbah kita. 11 Imam Agung Yahudi membawa darah binatang ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa, tetapi bangkai binatang itu dibakar di luar perkhemahan. + 12 Itulah sebabnya Yesus juga mati di luar pintu gerbang kota, untuk menyucikan umat-Nya daripada dosa dengan darah-Nya sendiri. 13 Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia. 14 Hal itu demikian, kerana di bumi tidak ada kota yang kekal untuk kita; kita mencari kota yang akan datang. 15 Oleh itu, marilah kita sentiasa persembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Allah melalui Yesus. Kata-kata pujian itu persembahan kita, apabila kita mengaku Dia sebagai Tuhan kita. 16 Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Allah.
17 Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Allah bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu.
18 Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar. 19 Khasnya aku memohon supaya kamu berdoa agar Allah segera menghantar aku kembali kepada kamu.
Doa Penutup
20 Allah sudah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian. Oleh sebab kematian-Nya itu, Dia sekarang menjadi Gembala Agung kita, domba-domba-Nya. Kematian-Nya juga mengesahkan perjanjian kekal yang dibuat oleh Allah dengan kita. 21 Semoga Allah sumber kesejahteraan itu melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang kamu perlukan untuk melakukan kehendak-Nya. Semoga dengan perantaraan Yesus Kristus, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya dalam hidup kita. Hendaklah Kristus dimuliakan selama-lamanya! Amin.
Penutup Surat
22 Aku memohon supaya kamu mendengarkan nasihat-nasihat yang menggalakkan dengan sabar, kerana suratku ini tidak terlalu panjang. 23 Aku hendak memberitahu kamu bahawa saudara kita Timotius sudah dibebaskan dari penjara. Jika dia segera ke sini, aku akan melawat kamu bersama-sama dia.
24 Sampaikanlah salam kami kepada semua pemimpin kamu dan semua umat Allah. Terimalah salam daripada saudara-saudara di Italia.
25 Semoga Allah memberkati kamu semua.
+ 13:2 Kej 18.1-8, 19.1-3 + 13:5 Ul 31.6, 8; Yos 1.5 + 13:6 Mzm 118.6 + 13:11 Im 16.27