Raja Hizkia Gering lalu Disembuhkan
(Yes 38.1-8, 21-22; 2 Taw 32.24-26)
20
Kira-kira pada masa itu Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja lalu berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.”
Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa, “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu.
Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN. Aku akan menambah usiamu selama lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem ini daripada raja Asyur. Aku akan membela kota ini demi kehormatan-Ku sendiri dan juga kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Daud.’”
Selepas itu Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan mengoleskannya pada bisul raja supaya baginda sembuh.f Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan beta dan tiga hari kemudian beta dapat pergi ke Rumah TUHAN?”
Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberikan satu tanda kepada tuanku untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. Manakah yang tuanku lebih sukai: bayangan pada penunjuk jam matahari maju sepuluh garis atau undur sepuluh garis?”g
10 Raja Hizkia menjawab, “Lebih mudah untuk membuat bayangan maju sepuluh garis. Buatlah supaya bayangan undur sepuluh garis!”h
11 Yesaya berdoa kepada TUHAN, lalu TUHAN membuat bayangan itu undur sepuluh garisi pada penunjuk jam mataharij yang dibina oleh Raja Ahas.
Para Utusan dari Babel
(Yes 39.1-8)
12 Kira-kira pada masa itu, Raja Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babilonia, mendengar bahawa Raja Hizkia gering. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia. 13 Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan segala kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudang atau di seluruh kerajaan baginda yang tidak ditunjukkan kepada mereka. 14 Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?”
Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.”
15 “Apakah yang dilihat mereka di istana?”
“Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia.
16 Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN, 17 masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal. + 18 Beberapa orang daripada keturunan tuanku sendiri akan dibawa dan dijadikan sida-sida untuk bertugas di istana raja Babilonia.” +
19 Raja Hizkia berfikir bahawa selama hidup baginda, kerajaan baginda akan aman dan damai. Oleh itu Raja Hizkia menjawab, “Firman TUHAN yang kamu sampaikan itu baik.”
Akhir Pemerintahan Raja Hizkia
(2 Taw 32.32-33)
20 Segala perbuatan Raja Hizkia, termasuk kepahlawanan baginda dan kisah baginda membina kolam air serta saluran air ke kota itu, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 21 Raja Hizkia mangkat, lalu Manasye, putera baginda menggantikan baginda sebagai raja.
f 20:7 Terjemahan kuno (dan lihat Yes 38.21): supaya baginda sembuh. Naskhah Ibrani: dan baginda sembuh. g 20:9 jam matahari...garis...garis; atau tangga...anak tangga...anak tangga. h 20:10 garis...garis; atau anak tangga...anak tangga. i 20:11 garis; atau anak tangga. j 20:11 jam matahari; atau tangga. Bukti arkeologi mengusulkan bahawa tangga yang disebut dalam bahagian ini telah dibina khas untuk menunjukkan masa. + 20:17 2 Raj 24.13; 2 Taw 36.10 + 20:18 2 Raj 24.14-15; Dan 1.1-7