Perumpamaan tentang Seorang Penabur
(Mrk 4.1-9; Luk 8.4-8)
13
Pada hari itu juga Yesus meninggalkan rumah itu lalu pergi ke tepi tasik. Dia duduk di situ dan mengajar. Orang yang berkumpul di sekeliling-Nya begitu banyak sehingga Yesus menaiki sebuah perahu lalu duduk di situ, sedangkan orang ramai berdiri di pantai. + Yesus mengajar mereka banyak perkara dengan menggunakan perumpamaan.
Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit. Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.”
Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah!”
Maksud Yesus Menggunakan Perumpamaan
(Mrk 4.10-12; Luk 8.9-10)
10 Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan bertanya kepada-Nya, “Mengapa Guru menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai?”
11 Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah,G sedangkan mereka tidak. 12 Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi, supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. + 13 Itulah sebabnya Aku menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai, kerana mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak mengerti. 14 Dengan perbuatan mereka itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya,
‘Allah berfirman:
Mereka akan mendengar dan mendengar,
tetapi tidak faham;
mereka akan melihat dan melihat,
tetapi tidak nampak,
15 kerana seolah-olah fikiran mereka tumpul;
telinga pekak, dan mata buta.
Jika mereka tidak demikian,
tentu mata mereka akan melihat,
telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti,
sehingga mereka kembali kepada-Ku,
dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ +
16 Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar. 17 Ketahuilah! Banyak nabi dan orang yang melakukan kehendak Allah ingin melihat apa yang kamu lihat sekarang ini, tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.” +
Yesus Menerangkan Perumpamaan tentang Seorang Penabur
(Mrk 4.13-20; Luk 8.11-15)
18 “Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. 19 Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. 20 Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. 21 Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. 22 Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. 23 Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.”
Perumpamaan Lalang di antara Gandum
24 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka. “Apabila Allah memerintah,H keadaannya seperti seorang yang menabur benih yang baik di ladangnya. 25 Pada suatu malam, ketika semua orang sedang tidur, musuhnya datang lalu menanam lalang di antara gandum itu, kemudian dia pergi. 26 Apabila tanaman itu membesar dan bulir gandum muncul, lalang-lalang itu kelihatan. 27 Hamba peladang itu datang kepadanya dan berkata, ‘Tuan menanam benih yang baik di ladang. Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ 28 Peladang itu menjawab, ‘Seorang musuh sudah melakukan perkara ini.’ Hambanya bertanya, ‘Adakah tuan mahu kami mencabut lalang-lalang itu?’ 29 ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut. 30 Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai gandum. Lalu aku akan berkata kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu, lalu mengikatnya dan kemudian membakarnya. Selepas itu baru kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.’”
Perumpamaan tentang Biji Sawix
(Mrk 4.30-32; Luk 13.18-19)
31 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti sebutir biji sawi yang diambil oleh seseorang, lalu ditanam di ladang. 32 Biji sawi adalah benih yang terkecil, tetapi apabila tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Tanaman itu menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.”
Perumpamaan tentang Ragi
(Luk 13.20-21)
33 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.”
Tujuan Yesus Menggunakan Perumpamaan
(Mrk 4.33-34)
34 Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. 35 Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi,
“Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka;
Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.” +
Yesus Menerangkan Perumpamaan tentang Lalang di antara Gandum
36 Setelah itu Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke dalam rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan berkata, “Beritahulah kami makna perumpamaan tentang lalang di antara gandum itu.”
37 Yesus berkata, “Orang yang menabur benih yang baik itu Anak Manusia. 38 Ladang itu dunia ini; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah, sedangkan lalang itu orang yang berpihak kepada Si Jahat. 39 Musuh yang menabur benih lalang itu Iblis. Masa menuai tuaian itu Hari Kiamat dan para penuai itu malaikat-malaikat. 40 Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar di dalam api, demikian juga halnya pada Hari Kiamat kelak. 41 Anak Manusia akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya mengumpulkan semua orang antara umat-Nya yang menyebabkan orang berdosa, dan semua orang lain yang melakukan kejahatan. 42 Mereka semua akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di situ mereka akan menangis dan menderita. 43 Kemudian orang yang melakukan kehendak Allah akan bersinar seperti matahari di Dunia Baru Allah, Bapa mereka. Jika kamu bertelinga, dengarlah!”
Perumpamaan tentang Harta yang Terpendam
44 “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seseorang menjumpai harta yang terpendam di tanah, lalu dia memendamnya semula. Kemudian dengan penuh sukacita dia pergi menjual segala miliknya, lalu kembali dan membeli tanah itu.”
Perumpamaan tentang Mutiara yang Sangat Berharga
45 “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang saudagar mencari mutiara yang sangat berharga. 46 Apabila dia menemui sebutir mutiara yang sangat berharga, dia menjual segala miliknya, lalu membeli mutiara itu.”
Perumpamaan tentang Pukat
47 “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam tasik lalu mendapat bermacam-macam ikan. 48 Apabila pukat itu sudah penuh, nelayan menariknya ke darat. Lalu mereka duduk dan memisahkan ikan-ikan itu: yang baik disimpan di dalam bekas dan yang tidak baik dibuang. 49 Demikianlah halnya pada Hari Kiamat. Malaikat-malaikat akan datang untuk mengumpulkan orang jahat antara orang yang melakukan kehendak Allah. 50 Lalu orang jahat akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di sana mereka akan menangis dan menderita.”
Ajaran Baru dan Ajaran Lama
51 “Fahamkah kamu akan perkara-perkara ini?” tanya Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya.
“Kami faham,” jawab mereka.
52 Yesus berkata pula, “Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang Pemerintahan Allah, bagaikan pemilik rumah yang mengeluarkan benda baru dan benda lama dari stornya.”
Yesus Tidak Diterima di Nasaret
(Mrk 6.1-6; Luk 4.16-30)
53 Setelah Yesus menceritakan perumpamaan-perumpamaan itu, Dia meninggalkan tempat itu, 54 lalu balik ke kampung halaman-Nya. Di sana Dia mengajar di rumah ibadat, dan orang yang mendengar-Nya hairan. Mereka bertanya, “Dari manakah dia mendapat kebijaksanaan seperti itu? Dari manakah dia mendapat kuasa untuk melakukan mukjizat? 55 Bukankah dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibunya, dan Yakobus, Yusuf, Simon, serta Yudas itu saudaranya? 56 Bukankah saudara-saudara perempuannya bersama-sama kita? Dari manakah dia memperoleh semuanya ini?” 57 Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia.
Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan antara keluarganya sendiri.” + 58 Yesus tidak melakukan banyak mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya kepada-Nya.
+ 13:2 Luk 5.1-3 G 13:11 Tentang bagaimana Allah memerintah; Harfiah: Kerajaan Syurga. + 13:12 Mat 25.29; Mrk 4.25; Luk 8.18, 19.26 + 13:15 Yes 6.9-10 + 13:17 Luk 10.23-24 H 13:24 Allah memerintah; Harfiah: Kerajaan Syurga. x 13:30 sawi: Sawi yang dimaksudkan di sini sejenis tanaman yang dapat tumbuh setinggi kira-kira tiga meter. + 13:35 Mzm 78.2 + 13:57 Yoh 4.44