Adat Istiadat Nenek Moyang
(Mrk 7.1-13)
15
Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!”
Yesus menjawab, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri? Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ + Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,’ maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. y Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri. Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu!
Allah berfirman, ‘Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata,
tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku.
Sia-sialah mereka menyembah Aku,
kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka
seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’” +
Hal-Hal yang Menajiskan Orang
(Mrk 7.14-23)
10 Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah! 11 Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.”
12 Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?”
13 Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. 14 Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.” +
15 Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.”
16 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka. 17 Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi. 18 Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. + 19 Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. 20 Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!”
Iman Seorang Wanita
(Mrk 7.24-30)
21 Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon. 22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.”
23 Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!”
24 Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.”
25 Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.”
26 Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.”
27 “Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.”
28 Oleh itu Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!” Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh.
Yesus Menyembuhkan Banyak Orang
29 Yesus meninggalkan tempat itu lalu berjalan menyusur tepi Tasik Galilea. Kemudian Dia naik ke sebuah bukit lalu duduk. 30 Banyak orang datang kepada-Nya dan membawa orang yang tempang, yang buta, yang lumpuh, yang bisu, dan banyak lagi orang sakit. Mereka meletakkan semua orang ini di hadapan Yesus dan Yesus menyembuhkan mereka semua. 31 Orang ramai hairan apabila mereka melihat yang bisu bercakap, yang lumpuh berjalan, yang tempang sembuh, dan yang buta melihat. Mereka memuji-muji Allah umat Israel.
Yesus Memberi Makan kepada Empat Ribu Orang
(Mrk 8.1-10)
32 Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.”
33 Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?”
34 Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?”
“Tujuh ketul,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.”
35 Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. 36 Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 37 Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. 38 Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.
39 Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan.
+ 15:4 Kel 20.12, 21.17; Ul 5.16; Im 20.9 y 15:6 bapanya: Beberapa buah naskhah kuno: bapa atau ibunya. + 15:9 Yes 29.13 + 15:14 Luk 6.39 + 15:18 Mat 12.34