Yesus Menyembuhkan Seorang Berpenyakit Kulit
(Mrk 1.40-45; Luk 5.12-16)
8
Yesus turun dari bukit, dan banyak orang mengikuti Dia. Lalu seorang berpenyakit kulit yang mengerikanm datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya.”
Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, “Aku mahu. Sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” +
Yesus Menyembuhkan Seorang Hamba Ketua Askar Roma
(Luk 7.1-10)
Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, “Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita.”
Yesus berkata kepadanya, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia.”
Tetapi ketua askar itu menjawab, “Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.”
10 Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, “Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. 11 Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru AllahE bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub. + 12 Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.” + 13 Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.”
Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga.
Yesus Menyembuhkan Banyak Orang
(Mrk 1.29-34; Luk 4.38-41)
14 Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam. 15 Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus.
16 Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. 17 Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.” +
Orang yang Hendak Menjadi Pengikut Yesus
(Luk 9.57-62)
18 Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik. 19 Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!”
20 Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.”
21 Lalu seorang pengikut yang lain berkata, “Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya.”
22 Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri.”
Yesus Meneduhkan Ribut
(Mrk 4.35-41; Luk 8.22-25)
23 Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia. 24 Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur. 25 Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!”
26 Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?” Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali.
27 Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, “Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?”
Yesus Menyembuhkan Dua Orang yang Dirasuk Roh Jahat
(Mrk 5.1-20; Luk 8.26-39)
28 Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ. 29 Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?”
30 Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan. 31 Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu.”
32 “Pergilah,” kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam.
33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat. 34 Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka.
m 8:2 berpenyakit kulit yang mengerikan: Menurut peraturan agama Yahudi, penyakit ini menyebabkan penderitanya tidak layak menyembah Allah di tempat ibadat. + 8:4 Im 14.1-32 E 8:11 Dunia Baru Allah; Harfiah: Kerajaan Syurga. + 8:11 Luk 13.29 + 8:12 Mat 22.13, 25.30; Luk 13.28 + 8:17 Yes 53.4