Lelaki
4
Alangkah cantiknya engkau,
hai sayangku,
engkau sungguh cantik!
Matamu di balik tudung bagaikan mata merpati.
Rambutmu seperti kawanan kambing
yang menuruni bukit-bukit Gilead.
Gigimu putih seperti kawanan domba
yang baru dicukur dan dimandikan,
berpasangan seperti anak domba kembar,
tiada satu pun yang hilang.
Bibirmu seperti pita merah,
dan mulutmu cantik.
Pipimu seperti belahan buah delima
di balik tudungmu.
Lehermu seperti menara Daud, yang dibina berlapis-lapis,
kalungmu seperti seribu perisai pahlawan.
Buah dadamu seperti dua anak rusa,
seperti kijang kembar yang sedang merumput
di antara bunga bakung.
Aku akan pergi ke gunung mur dan ke bukit kemenyan,
sehingga bayu pagi bertiup dan kegelapan malam hilang.
Alangkah cantiknya engkau,
hai sayangku,
tiada cacat padamu.
Marilah kepadaku,
hai pengantinku,
turunlah dari Lebanon;
datanglah kepadaku dari pergunungan Lebanon.
Turunlah dari puncak Amana,
dari puncak Senir dan Hermon,
tempat tinggal singa dan harimau bintang.
Hai kekasih dan pengantinku,
engkau memikat hatiku dengan mata dan kalungmu.
10 Cintamu menyukakan hatiku,
hai kekasih dan pengantinku.
Cintamu lebih nikmat daripada wain,
minyak wangimu lebih harum daripada segala rempah.
11 Bibirmu lebih manis daripada madu, hai pengantinku.
Lidahmu seperti susu dan madu, bagiku.
Pakaianmu seharum Pergunungan Lebanon.
12 Kekasih dan pengantinku seperti taman yang bertembok,
taman yang bertembok,
mata airku sendiri.
13 Di sana tumbuh pokok-pokok delima
dengan buah-buah yang paling lazat;
bunga inai dan narwastu,
14 kunyit, tebu, kayu manis,
dan segala macam kemenyan;
mur dan gaharu
dengan pelbagai rempah pilihan.
15 Taman itu diairi mata air yang memancarkan air segar,
yang mengalir dari Pergunungan Lebanon.
Wanita
16 Bangkitlah, hai angin utara.
Bertiuplah ke tamanku,
hai angin selatan;
biarlah harummu semerbak di udara.
Semoga kekasihku datang ke tamanku,
dan makan buah-buah yang lazat.