Yerusalem Akan Diselamatkan
12
Inilah perkhabaran daripada TUHAN tentang Israel. TUHAN yang membentangkan langit, menciptakan bumi, dan memberikan hidup kepada manusia berfirman, “Aku akan menjadikan Yerusalem seperti secawan wain. Bangsa-bangsa di sekitar akan meminumnya lalu terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Apabila mereka mengalahkan Yerusalem, kota-kota di seluruh Yehuda pun akan dikalahkan. Pada masa itu kelak, Aku akan menjadikan Yerusalem seperti batu yang berat. Mana-mana bangsa yang cuba mengangkatnya akan cedera. Semua bangsa di bumi ini akan bersekutu untuk menyerang Yerusalem. Pada masa itu Aku akan menakutkan semua kuda, dan para penunggang kuda akan menjadi gila. Aku akan menjaga penduduk Yehuda, tetapi Aku akan membutakan mata kuda musuh mereka. Barulah puak-puak suku Yehuda berkata dalam hati, ‘TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa telah menguatkan umat-Nya yang tinggal di Yerusalem.’
Pada masa itu Aku akan menjadikan puak-puak Yehuda seperti api di tengah-tengah hutan atau di tengah-tengah ladang gandum yang telah masak; mereka akan membinasakan semua bangsa di sekitar mereka. Penduduk Yerusalem akan selamat di dalam kota.
Aku, TUHAN, akan memberikan kemenangan kepada tentera Yehuda terlebih dahulu, supaya kemuliaan yang akan diterima oleh keturunan Daud dan penduduk Yerusalem tidak akan melebihi kemuliaan yang diterima oleh penduduk Yehuda yang lain. Pada masa itu Aku akan melindungi mereka yang tinggal di Yerusalem, bahkan orang yang paling lemah pun akan menjadi sekuat Daud. Mereka akan dibimbing oleh keturunan Daud seperti dibimbing oleh malaikat TUHAN dan seperti dibimbing oleh Allah sendiri. Pada masa itu Aku akan membinasakan semua bangsa yang cuba menyerang Yerusalem.
10 Aku akan memberikan keturunan Daud dan penduduk Yerusalem hati yang suka mengasihani dan suka berdoa. Mereka akan memandang orang yang ditikam oleh mereka, lalu meratapinya seperti orang yang meratapi kematian anak tunggal. Mereka akan meratap dengan pilu, seperti orang yang kehilangan anak lelaki sulung. + 11 Pada masa itu akan ada ratapan di Yerusalem seperti ratapan bagi Hadad-Rimonp di Lembah Megido. 12-14 Tiap-tiap keluarga di negeri itu akan meratap sendiri-sendiri: keluarga keturunan Daud, Natan, Lewi, Simei, dan semua keluarga yang lain. Tiap-tiap keluarga akan meratap sendiri-sendiri. Kaum lelaki daripada tiap-tiap keluarga akan meratap terpisah daripada kaum perempuan.” +
+ 12:10 Yoh 19.37; Why 1.7 p 12:11 Hadad-Rimon: Nama ini mungkin nama untuk Baal, dewa tanaman di Kanaan dan di Siria. Apabila tanaman mati pada setiap tahun, para pemuja dewa berfikir bahawa dewa itu juga sudah mati dan mereka meratapi kematian dewa itu. + 12:12-14 Mat 24.30; Why 1.7