Pertanyaan-pertanyaan tentang Alkitab
Soalan: Adakah Kitab Injil benar-benar Firman Tuhan?

Jawapan: Jawapan kepada soalan ini bukan sahaja menunjukkan pandangan kita terhadap Kitab Injil dan kepentingannya dalam hidup kita, malah akan mempengaruhi kita sepanjang masa. Jika Kitab Injil ialah firman Tuhan, maka kita perlu menghargai, mengkaji dan akhirnya percaya kepadanya. Jika Kitab Injil ialah firman Tuhan, maka menafikan kitab Injil adalah sama dengan menafikan Tuhan sendiri.

Hakikat mengenai Tuhan dalam Kitab Injil telah membuktikan kasih-Nya kepada kita. Perkataan Wahyu bermakna Tuhan berhubung dengan manusia untuk memberitahu kita siapakah Dirinya dan bagaimana kita boleh mempunyai hubungan baik dengan Tuhan. Perkara-perkara itu tidak akan diketahui oleh manusia jika Tuhan tidak memberikan Wahyu melalui Kitab Injil. Walaupun Wahyu Tuhan di dalam Kitab Injil diberikan secara berperingkat selama 1500 tahun, ia mengandungi semua maklumat penting mengenai Tuhan supaya kita dapat mempunyai hubungan baik dengan-Nya. Jika Kitab Injil benar-benar firman Tuhan, maka ia adalah kewibawaan muktamad ke atas kepercayaan, peraturan agama dan akhlak kita.

Soalan yang patut kita tanya ialah bagaimana kita boleh pasti bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan dan bukan hanya sebuah buku yang baik. Apakah sifat Kitab Injil yang unik yang membezakannya daripada buku-buku agama yang lain. Terdapatkah bukti bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan yang benar? Soalan-soalan inilah yang patut kita kaji jika kita benar-benar ingin mengetahui sama ada kitab Injil itu Firman Tuhan, diberikan oleh Tuhan dan ajarannya lengkap untuk kepercayaan dan amalan agama.

Hakikatnya, Kitab Injil memang mengaku bahawa ia Firman Tuhan. 2 Timotius 3:15-17 dengan jelas menyatakan, ?Dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.?

Untuk menjawab soalan-soalan ini kita perlu melihat bukti dalaman dan luaran. Bukti dalaman ialah kandungan Kitab Injil yang mempersaksikan bahawa ia berasal daripada Tuhan. Satu bukti dalaman yang membuktikan bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan ialah kesatuannya. Walaupun kitab Injil terdiri daripada 66 buah buku yang berasingan dan ditulis di tiga benua, dalam bahasa yang berlainan, dalam masa 1500 tahun, oleh 40 penulis-penulis (daripada latar belakang yang berbeza), kandungan Kitab Injil masih mempunyai kesatuan dari permulaan hingga akhir tanpa percanggahan. Kesatuan ini adalah keunikan yang tidak terdapat di dalam buku-buku lain dan membuktikan bahawa asalnya adalah daripada Tuhan yang membantu manusia untuk menulis firman-Nya secara tepat.

Satu lagi bukti dalaman yang menunjukkan bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan boleh dilihat daripada nubuat-nubuat yang teliti di dalamnya. Kitab Injil mengandungi beratus-ratus nubuat terperinci mengenai masa depan negara seperti Israel, masa depan bandar-bandar tertentu, masa depan manusia dan meramal kedatangan Messiah, penyelamat Israel dan dunia. Berbeza daripada nubuat dalam buku agama yang lain seperti Nostradamus, nubuat Kitab Injil adalah amat terperinci dan tidak pernah gagal. Terdapat 300 nubuat-nubuat mengenai Yesus Kristus di dalam Kitab Zabur. Bukan sahaja menyatakan tempat Yesus akan dilahirkan dan siapakah ahli keluarganya, malah bagaimana Dia akan mati dan bangkit semula selepas tiga hari. Tiada cara lain yang boleh menjelaskan nubuat-nubuat yang berlaku kecuali Kitab Injil itu betul-betul berasal daripada Tuhan. Tiada buku-buku agama lain yang mempunyai nubuat-nubuat seperti Kitab Injil.

Bukti dalaman yang ketiga ialah kewibawaan dan kekuasaannya yang unik. Walaupun bukti ini adalah lebih subjektif berbanding dengan kedua-dua bukti yang dinyatakan di atas, ia masih merupakan kesaksian yang berkuasa dan menunjukkan bahawa Kitab Injil berasal daripada Tuhan. Kitab Injil menpunyai kekuasaan yang unik dan berlainan daripada buku-buku agama lain. Kuasanya boleh dilihat daripada kehidupan orang ramai yang berubah selepas mereka membaca kitab Injil. Penagih dadah diubati, banduan yang berhati keras menjadi baik, orang yang berdosa ditegur, dan kebencian ditukar menjadi kasih. Kitab Injil mempunyai kuasa yang dinamik dan menyentuh hati manusia, hal ini hanya boleh dilakukan oleh Tuhan.

Selain daripada bukti dalaman, terdapat juga bukti luaran. Salah satu bukti ialah peristiwa sejarah dalam Kitab Injil. Kitab Injil menyatakan peristiwa dalam sejarah dengan terperinci maka ketepatan dan kebolehpercayaannya boleh disemak seperti buku sejarah yang lain. Melalui bukti-bukti kaji purba dan buku-buku sejarah lain, catatan sejarah Kitab Injil kerap terbukti tepat. Manuskrip kaji purba menyokong Kitab Injil dan menjadikannya sebuah buku yang boleh dipercayai sejak dari zaman dulu. Hakikat bahawa Kitab Injil menulis dengan tepat perkara-perkara dalam sejarah menunjukkan kebolehpercayaannya berkaitan dengan subjek agama dan doktrin kepercayaan, hal ini membantu menyokong hakikat bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan.

Satu lagi bukti luaran ialah integriti penulis-penulisnya. Seperti yang dikatakan dahulu, Tuhan menggunakan manusia yang berlainan latar belakang untuk menulis firman-Nya. Apabila kehidupan penulis-penulis itu dikaji, didapati bahawa mereka adalah orang yang jujur dan ikhlas maka boleh dipercayai. Kajian ke atas hidup mereka dan hakikat bahawa mereka sudi mati (dengan diseksa) untuk kepercayaan mereka, jelaslah menunjukkan bahawa manusia yang biasa itu benar-benar percaya Tuhan telah bercakap dengan mereka. Mereka yang menulis Kitab Injil dan pengikut-pengikut Yesus percaya akan Kitab Injil kerana mereka bersama dengan Yesus dan pernah melihat Yesus selepas Dia bangkit daripada kematian (1 Korintus 15:6). Kebangkitan Yesus memberi pengaruh yang kuat ke atas pengikutnya. Mereka tidak takut sehingga bersembunyi lagi, tetapi sudi mati untuk Tuhan yang menurunkan Wahyu kepada mereka. Kehidupan dan kematian mereka membuktikan bahawa Kitab Injil itu firman Tuhan.

Bukti luaran terakhir ialah Kitab Injil tidak dapat dihapuskan. Disebabkan Kitab Injil ialah Firman Tuhan yang penting, maka ia sering diserang dan terdapat percubaan untuk menghapuskannya. Raja Roman seperti Diocletian, pihak komunis dan mereka yang tidak percaya kepada Tuhan cuba menghapuskan dan mengkritik Kitab Injil, tetapi Kitab Injil masih kekal wujud dan dicetak di seluruh dunia.

Sepanjang masa, mereka meragui dan menganggap Kitab Injil ialah cerita mitos, tetapi kaji purba telah membuktikan kebenaran sejarahnya. Pembangkang menentang dan mengatakan bahawa ia primitif dan ketinggalan zaman, tetapi ajaran moral dan peraturannya mempunyai pengaruh yang positif ke atas masyarakat dan kebudayaan di seluruh dunia. Ia terus diserang oleh sains, psikologi dan politik tetapi ia masih kekal wujud seperti masa dulu. Kitab injil ialah sebuah buku yang telah mengubah beribu-ribu nyawa dan kebudayaan sejak 2000 tahun dulu. Tidak kira bagaimana pembangkangnya cuba menentang dan memusnahkannya, Kitab Injil masih kekal kuat dan boleh dipercayai. Ketepatannya kekal walaupun terdapat percubaan untuk memusnahkannya, dan hal ini membuktikan bahawa ia ialah firman Tuhan yang benar. Kita boleh berasa kagum apabila melihat Kitab Injil kekal tidak berubah walaupun diserang dengan sengit. Tambahan pula, Yesus berkata, ?Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.? (Markus 13:31). Selepas mengkaji semua bukti dan fakta, kita boleh berkata dengan yakin bahawa ?Ya, Kitab Injil ialah Firman Tuhan yang benar.?

Soalan: Adakah Alkitab mengandungi kesalahan-kesalahan, pertentangan-pertenganan atau percanggahan?

Jawapan: Sekiranya kita membaca Alkitab tanpa ada kecenderungan yang sedia ada untuk mencari kesalahan, maka kita akan mendapati bahawa Alkitab sebagai jelas, bersifat tetap dan satu buku yang memang mudah untuk difahami. Ya, ada bahagian-bahagian yang susah untuk dimengerti. Ya, ada ayat-ayat yang nampaknya seperti saling bertentangan di antara satu dengan yang lain. Kita mesti ingat bahawa Alkitab itu telah ditulis oleh lebih daripada sekitar 40 orang penulis dalam jangka waktu 1500 tahun. Setiap penulis menulis dengan gaya tulisan yang berbeza, dari sudut pandangan yang berbeza, kepada pembaca yang berbeza dengan tujuan yang berbeza pula. Kita boleh menjangka beberepa perbezaan kecil. Namun, satu perbezaan bukanlah satu pertentangan. Ia hanya pasti satu kesalahan apabila tiada jalan penyelesaian di antara dua ayat atau bahagian Firman yang dikatakan sebagai bertentangan. Walaupun jawaban belum dapat diberikan sekarang, itu bukan bererti jawaban itu tidak wujud. Ramai telah mendapati bahawa apa yang dipandang salah dalam sejarah dan geografi Alkitab akhirnya mendapati bahawa Alkitab itu betul melalui penemuan-penemuan arkeologi yang baru.

Kita sering diperhadapkan dengan petanyaan yang berbunyi ?Jelaskan pertentangan ini? atau ?Lihat, ini satu kesalahan dalam Alkitab!? Kita akui, beberapa perkara yang telah diketengahkan orang memang susah untuk dijawab. Bagaimanapun, kita tetap bertegas bahawa pasti ada jawaban dan penjelasan yang masuk akal kepada setiap apa yang dilihat sebagai pertentangan dan kesalahan dalam Alkitab. Ada terdapat buku-buku dan laman web yang menyenaraikan ?semua kesalahan dalam Alkitab.? Kebanyakan orang mendapat peluru mereka untuk menyerang Alkitab dari tempat-tempat ini; sedangkan mereka sendiri tidak ada menemukan apa yang disebut sebagai kesalahan dalam Alkitab. Ada juga buku-buku dan laman web yang membuktikan apa yang disenaraikan sebagai kesalahan Alkitab itu sebenarnya tidak betul. Perkara yang sangat menyedihkan adalah tentang orang-orang yang menyerang Alkitab sebenarnya tidak berminat untuk mendapatkan sebarang penjelasan. Ramai ?penyerang-penyerang Alkitab? memang sedar dengan jawaban-jawaban yang ada, tetapi mereka terus menggunakan serangan lapuk dan yang cetek itu berulang kali.

Jadi, apakah yang patut kita lakukan apabila seseorang mendekati kita dengan membawa satu tuduhan tentang kesalahan Alkitab? 1) Selidikilah bahagian ayat yang dipertikaikan dengan banyak berdoa dan perhatikan samada terdapat satu penyelesaian yang mudah. 2) Buatlah satu penyelidikan menggunakan tafsiran-tafsiran Alkitab yang baik dan laman web penyelidikan Alkitab. 3) Tanya pastor/pemimpin gereja samada mereka boleh memberikan penyelesaian. 4) Sekiranya jawaban masih juga belum ditemui setelah langkah-langkah 1 sehingga 3, maka kita percaya Firman-Nya adalah kebenaran dan pasti ada penyelesaiannya, hanya belum ditemukan. (2 Timotius 2:15, 3:16-17)

Soalan: Adakah Alkitab relevan untuk hari ini?

Jawapan: Ibrani 4:12 berkata, ?Sebab firman Allah hidup dan kuat dan lebih tajam dari pada pedang bermata dua mana pun; ia menusuk amat dalam sampai memisahkan jiwa dan roh, sendi-sendi dan sumsum; ia sanggup membedakan pertimbangan dan pikiran hati kita.? Walaupun Alkitab telah selesai ditulis lebih kurang 1900 tahun yang lalu, ketepatan dan kesesuaiannya untuk hari ini tetap tidak berubah. Alkitab merupakan satu-satunya sumber yang ada pada kita tentang wahyu Allah berhubung diri-Nya dan rancangan-Nya untuk umat manusia.

Alkitab mempunyai banyak maklumat tentang alam semulajadi yang telah dibuktikan melalui pemerhatian dan penyelidikan saintifik. Beberapa daripada bahagian-bahagian Firman Tuhan itu termasuklah Imamat 17:11; Pengkhotbah 1:6-7; Ayub 36:27-29; Mazmur 102: 25-27 dan Kolose 1: 16-17. Dalam penyingkapan rancangan penyelamatan Allah bagi umat manusia, banyak watak-watak yang berbeza telah dihuraikan dengan sangat jelas dalam Alkitab. Dalam huraian itu Alkitab memberikan banyak maklumat tentang perilaku dan kencenderungan manusia. Pengalaman kita setiap hari memberitahu kita bahawa maklumat tentang manusia yang terdapat dalam Alkitab adalah lebih tepat berbanding buku-buku teks ilmu psikologi. Banyak fakta-fakta sejarah yang tertulis dalam Alkitab telah diteguhkan oleh maklumat-maklumat di luar Alkitab. Penyelidikan sejarah sering menunjukkan satu persamaan di antara peristiwa dalam Alkitab dengan apa yang terjadi di luar Alkitab.

Bagaimanapun, Alkitab bukanlah satu buku sejarah, bukan juga buku psikologi atau satu jurnal saintifik. Alkitab merupakan tempat di mana Tuhan memberikan penjelasan tentang Siapa Dia, keinginan-keinginan-Nya dan rancangan-Nya untuk umat manusia. Bahagian yang paling penting dalam wahyu Tuhan adalah tentang terpisahnya kita daripada Tuhan akibat dosa dan jalan penyelesaian yang Tuhan berikan untuk memulihkan persekutuan dengan Dia melalui korban Anak-Nya, Yesus Kristus. Keperluan kita terhadap penebusan tidak berubah. Demikian juga dengan kerinduan Tuhan untuk memperdamaikan kita dengan diri-Nya juga tidak berubah.

Soalan: Bagaimana dan bilakah kanon Alkitab dikumpulkan?

Jawapan: Istilah ?kanon? digunakan untuk kitab-kitab yang diilhami secara ilahi dan tergolong dalam Alkitab. Masalah dalam menentukan kanon Alkitab adalah Alkitab sendiri tidak memberikan senarai kitab-kitab yang harus terkandung di dalamnya. Menentukan kanon merupakan satu proses yang dijalankan oleh para rabi dan cendikiawan Yahudi dan kemudian oleh orang-orang Kristian yang awal. Sebuah kitab Firman sudah tergolong dalam kanon pada ketika Tuhan mula mengilhami penulisannya. Tuhan hanya perlu meyakinkan pengikut-pengikutNya tentang kitab-kitab mana yang termasuk dalam kanon Alkitab.

Berbanding dengan Perjanjian Baru, hampir tidak ada kontroversi berhubung kanon Perjanjian Lama. Orang-orang percaya dari bangsa Ibrani mengenal hamba-hamba Tuhan dan menerima tulisan-tulisan mereka sebagai diilhami oleh Tuhan. Walau terdapat beberapa debat berhubung kanon Perjanjian Lama, menjelang tahun 250M terdapat satu persetujuan umum terhadap kitab orang Ibrani. Isu dan beberapa debat yang masih ada sampai ke hari ini adalah soal kitab-kitab Apokrip. Sebahagian besar cendikiawan-cendikiawan Ibrani menganggap kita-kitab Apokrip sebagai buku yang mempunyai nilai sejarah dan keagamaan yang baik, tetapi tidak berada pada taraf yang sama dengan tulisan-tulisan orang Ibrani.

Proses mengenalpasti dan mengumpul Peranjian Baru bermula dalam abad pertama gereja Kristian. Sejak awal lagi beberapa kitab Perjanjian Baru telah mula dikenalpasti. Paulus menganggap tulisan Lukas berada pada taraf kewibawaan yang sama dengan Perjanjian Lama (1 Timotius 5:18; lihat juga Ulangan 25:4 dan Lukas 10:7) Petrus mengenal dan mengakui tulisan Paulus sebagai Firman Tuhan (2 Petrus 3:15,16). Beberapa kitab dalam Perjanjian Baru sudah mula diedarkan ke gereja-gereja (Kolose 4:16; 1 Tesalonika 5:27). Clement dari Rom ada menyebut sekurang-kurangnya 8 kitab Perjanjian Baru (95 M). Ignatius dari Antiokhia mengakui lebih kurang 7 kitab (115 M). Polykap, murid kepada Rasul Yohanes mengakui 15 kitab (108 M). Kemudian, Iraneus menyebut 21 kitab (185 M). Hipolitus mengakui 22 kitab (170-235). Kitab-kitab Perjanjian Baru yang banyak menghadapi kontroversi adalah kitab Ibrani, 2 Petrus, 2 Yohanes dan 3 Yohanes.

?Kanon? yang pertama merupakan Kanon Muratorian yang telah dikumpulkan dalam tahun 170 M. Kanon Muratorian memasukkan kesemua kitab-kitab dalam Perjanjian Baru kecuali Ibrani, Yakobus dan 3 Yohanes. Dalam tahun 363 M, Majlis Tua-Tua Laodekia menyatakan bahawa hanya Perjanjian Lama (bersama dengan Apokripa) dan 27 kitab Perjanjian Baru yang akan dibaca dalam gereja-gereja. Majlis Tua-Tua Hippo (393 M) dan Majlis Tua-Tua Carthage (397 M) juga menegaskan 27 kitab yang sama sebagai berwibawa.

Majlis Tua-Tua telah mengikuti prinsip-prinsip yang berikut ini untuk mempastikan samada sesebuah kitab Perjanjian Baru itu telah dilhamkan dengan sepenuhnya oleh Roh Kudus: 1) Adakah penulis seorang rasul atau seorang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan seorang rasul? 2) Adakah kitab itu diterima oleh tubuh Kristus secara meluas? 3) Adakah kitab mengandungi sifat pengajaran yang tetap dan tidak berubah? 4) Adakah kitab mengandungi nilai-nilai moral dan rohani yang tinggi dan dapat mencerminkan pekerjaan Roh Kudus yang telah mengilhamkan penulisannya? Penting sekali kita ketahui bahawa gereja tidak menentukan ukuran kanon. Juga tidak ada Majlis Tua-Tua awal yang memutuskan tentang kanon. Tuhan sendiri, dan Tuhan sajalah yang telah menentukan kitab-kitab manakah yang tergolong dalam Alkitab. Ia merupakan satu usaha Tuhan memberikan kepada pengikut-pengikut-Nya apa yang DIA telah putuskan. Di pihak manusia, proses mengumpulkan kitab-kitab ke dalam Alkitab tidak sempurna, tetapi Tuhan dalam kedaulatan-Nya; di sebalik kekurangan pengetahuan dan kedegilan di pihak kita, telah membawa gereja awal untuk mengenal buku-buku yang Dia telah ilhamkan.

Soalan: Mengapa kita perlu membaca/menyelidiki Alkitab?

Jawapan: Kita perlu membaca dan menyelidiki Alkitab kerana ia merupakan Firman Tuhan kepada kita. Secara harfiah, Alkitab ?telah diilhamkan Allah? (2 Timotius 3:16). Dengan kata lain, ianya benar-benar perkataan Tuhan kepada kita. Terdapat banyak pertanyaan yang ditanya ahli-ahli fikir yang telah dijawab oleh Tuhan untuk kita di dalam Firman-Nya. Apakah tujuan hidup? Dari manakah saya datang? Adakah kehidupan selepas kematian? Bagaimanakah saya dapat pergi ke syurga? Mengapakah dunia ini penuh dengan kejahatan? Mengapakah saya bergumul untuk berbuat baik? Tambahan kepada jawaban terhadap pertanyaan-pertanyaan besar ini, Alkitab memberikan banyak nasihat seperti: Apakah yang saya perlu lihat dalam seorang teman hidup? Bagaimanakah saya boleh memiliki pernikahan yang berjaya? Bagaimanakah saya boleh menjadi seorang sahabat yang baik? Bagaimanakah saya dapat menjadi seorang ibu/bapa yang baik? Apakah kejayaan itu dan bagaimanakah saya mencapainya? Bagaimanakah saya dapat berubah? Apakah yang paling penting dalam hidup? Bagaimanakah saya harus menjalani kehidupan saya supaya saya tidak memandang ke belakang dengan penyesalan? Bagaimanakah saya berhadapan dengan keadaan-keadaan yang tidak adil dan jahat dengan penuh kemenangan?

Kita harus membaca dan menyelidiki Alkitab sebab Alkitab tidak mengandungi apa-apa kesalahan dan dapat dipercayai. Alkitab itu unik di antara ?kitab-kitab suci? sebab ia tidak hanya memberikan ajaran-ajaran moral dan berkata ?percayalah kepada saya?. Sebaliknya Alkitab boleh diuji dengan memeriksa latarbelakang sejarah kepada ratusan nubuatan-nubuatan terperinci Alkitab dan fakta-fakta saintifik yang berkaitan dengannya. Mereka yang berkata Alkitab mempunyai kesalahan telah menutup telinga mereka terhadap kebenaran.Yesus pernah bertanya yang mana lebih mudah untuk dikatakan, ?Dosa-dosamu sudah diampuni?, atau ?Bangunlah,angkatlah tilammu dan berjalanlah.? Kemudian Dia membuktikan kuasa-Nya untuk mengampuni dosa (sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) dengan menyembuhkan orang yang lumpuh itu. Dengan cara yang sama, kita diyakinkan bahawa Firman Tuhan itu benar -apabila berbincang perkara-perkara rohani yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar-dengan memperlihatkan kebenarannya melalui perkara-perkara yang dapat diuji seperti ketepatan fakta sejarah, ketepatan sains dan ketepatan nubuatan.

Kita harus membaca dan menyelidiki Alkitab sebab Tuhan Allah tidak berubah dan sifat manusia juga tidak berubah. Alkitab masih relevan kepada kita pada hari ini seperti pada waktu ia dituliskan. Teknologi berubah, tetapi sifat dan keinginan manusia tidak berubah. Apabila kita membaca Alkitab, apabila kita membaca tentang perhubungan manusia satu dengan satu atau tentang masyarakat, kita akan mendapati bahawa ?tak ada sesuatu yang baru di bawah matahari? (Pengkhotbah 1:9). Sementara manusia pada keseluruhan terus mencari cinta dan kepuasan di tempat-tempat yang salah; Tuhan, Pencipta kita yang baik dan Maha Mulia, memberitahu kita apa yang dapat memberikan kita sukacita sebenar dan yang berkekalan. Firman-Nya yang telah diwahyukan sangat penting sehingga Yesus berkata, "Ada tertulis: Manusia hidup bukan dari roti saja, tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Allah." (Matius 4:4). Dalam kata lain, sekiranya kita mahu hidup dengan sepenuhnya sebagaimana yang dimaksudkan Tuhan, kita perlu mendengar dan mentaati Firman-Nya.

Kita perlu membaca dan menyelidiki Alkitab sebab terlalu banyak pengajaran palsu. Alkitab memberikan kita ?pengukur? untuk membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan. Alkitab memberitahu bagaimanakah Tuhan itu. Memiliki gambaran yang salah tentang Tuhan membuatkan kita menyembah berhala dan menyembah tuhan yang palsu. Kita menyembah sesuatu yang bukan Dia. Alkitab memberitahu bagaimana sesungguhnya seseorang itu dapat ke syurga dan ianya bukan dengan berkelakuan baik atau dibaptis atau apa-apa juga yang kita dapat lakukan. Dengan cara ini, Firman Tuhan memberitahu kepada kita betapa Dia sangat mengasihi kita (Roma 5:6-8; Yohanes 3:16). Dengan menyelidiki Alkitab kita menjadi tertarik untuk mengasihi Dia sebagai membalas kasih-Nya kepada kita (1 Yohanes 4:19).

Alkitab memperlengkapkan kita untuk melayani Tuhan (2 Timotius 3:17;Efesus 6:17; Ibrani 4:12). Ia memberitahu kita bagaimana kita dapat diselamatkan daripada hukuman dosa-dosa kita (2 Timotius 3:15). Merenungkan Firman Tuhan dan mentaati pengajaran-Nya akan membawa kejayaan dalam hidup kita (Yosua 1:8; Yakobus 1:25). Firman Tuhan menolong kita melihat dosa dalam hidup dan menolong untuk menjauhkannya daripada kita (Mazmur 119: 9,11). Alkitab memberikan pimpinan dalam hidup dan menjadikan kita lebih bijak daripada guru-guru kita (Mazmur 32: 8, 119:99; Amsal 1:6). Alkitab mengelak kita daripada mempersia-siakan hidup ke atas sesuatu yang tidak bererti dan tidak kekal (Matius 7:24-27).

Membaca dan menyelidiki Alkitab memampukan kita untuk melihat di sebalik ?umpan? kepada ?mata kail? yang menyakitkan sehingga kita dapat belajar daripada kesilapan orang lain dan tidak melakukannya. Pengalaman merupakan guru yang hebat, tetapi kalau ia melibatkan pengalaman berbuat dosa, ia adalah guru yang sangat menyakitkan. Adalah lebih baik belajar daripada kesilapan orang lain. Terdapat begitu banyak watak Alkitab yang daripada mereka kita dapat mempelajari sesuatu. Kita dapat belajar sesuatu yang baik dan yang buruk daripada watak-watak ini pada masa-masa yang berbeza dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, sewaktu Daud mengalahkan Goliat, itu mengajarkan kita bahawa Tuhan itu jauh lebih besar berbanding apa juga yang Dia izinkan untuk kita hadapi (1 Samuel 17); sementara penyerahannya kepada pencobaan untuk melakukan zinah dengan Bathsheba menyatakan betapa teruk dan lamanya kesan nikmat dosa yang hanya sekejap itu (2 Samuel 11).

Alkitab bukanlah buku untuk setakat dibaca. Ia adalah buku untuk diselidiki supaya dapat diterapkan. Sekiranya tidak, ia seperti menelan makanan tanpa mengunyah dan memuntahkannya kembali dan tidak ada zat yang kita perolehi daripadanya. Alkitab adalah Firman Tuhan. Oleh sebab itu, ia memegang kita sama seperti hukum alam memegang kita. Kita boleh mengabaikannya dan itu akan membahayakan diri kita sendiri sama seperti kalau kita mengabaikan hukum graviti. Kepentingan Alkitab dalam hidup kita perlu diberikan penegasan setegas-tegasnya. Menyelidiki Alkitab dapat digambarkan seperti melombong emas. Sekiranya sedikit sekali usaha kita seperti ?memilih batu-batu kerikil? di dasar anak sungai, maka sedikit sekali serbuk emas yang kita akan perolehi. Tetapi usaha yang lebih akan mempastikan lebih banyak lagi yang kita akan hasilkan.

Soalan: Apakah cara yang betul untuk menyelidiki Alkitab?

Jawapan: Menentukan erti dan apa yang dikatakan oleh Firman Tuhan merupakan salah satu tugas terpenting dalam kehidupan seorang yang percaya. Tuhan tidak menyuruh kita untuk setakat membaca Alkitab. Kita perlu menyelidiki dan dapat mengendalikannya dengan betul. Menyelidiki Firman Tuhan itu bukannya mudah. Bacaan sepintas lalu ke atas Firman Tuhan boleh menghasilkan satu kesimpulan yang salah. Oleh sebab itu, sangat penting untuk memahami beberapa prinsip dalam menentukan erti Firman Tuhan dengan betul.

Pertama, penyelidik Alkitab mesti berdoa dan meminta Roh Kudus untuk memberikan pemahaman, sebab itu merupakan salah satu daripada peranan-Nya. ?Tetapi apabila Ia datang, yaitu Roh Kebenaran, Ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran; sebab Ia tidak akan berkata-kata dari diri-Nya sendiri, tetapi segala sesuatu yang didengar-Nya itulah yang akan dikatakan-Nya dan Ia akan memberitakan kepadamu hal-hal yang akan datang.? (Yohanes 16:13). Sebagaimana Roh Kudus telah memimpin rasul-rasul dalam penulisan Perjanjian Baru, Dia juga membimbing kita dalam pemahaman Firman Tuhan. Ingatlah bahawa Alkitab itu adalah buku Tuhan, dan kita perlu bertanya kepada Tuhan apa ertinya. Sekiranya anda seorang Kristian, Penulis Firman Tuhan ? Roh Kudus- diam di dalam anda, dan Dia mahu anda memahami apa yang telah ditulis-Nya.

Kedua, kita tidak akan menarik keluar satu ayat daripada ayat-ayat di sekitarnya dan cuba mencari makna kepada ayat itu di luar daripada konteknya. Kita perlu sentiasa membaca ayat-ayat dan bab-bab di sekitar untuk mengerti konteksnya. Semua Firman Tuhan itu datangnya daripada Tuhan (2 Timotius 3:16; 2 Petrus 1:21) tetapi Tuhan telah menggunakan manusia untuk menulisnya. Orang-orang ini mempunyai tema mereka , tujuan penulisan dan isu-isu yang sedang mereka atasi sewaktu mereka menulis. Kita perlu membaca latarbelakang kitab-kitab, ditulis kepada siapa, bila ditulis, dan kenapa ia telah ditulis. Juga kita perlu berhati-hati dalam membiarkan teks untuk berbicara untuk dirinya sendiri. Kadangkala orang akan memasukkan pengertian mereka sendiri supaya mendapatkan penasfiran dendiri.

Ketiga, kita tidak boleh berusaha sendiri dalam penyelidikan Alkitab kita. Adalah satu kesombongan bila mengatakan kita tidak dapat memahami apa-apa melalui pekerjaan orang lain yang sepanjang hayatnya telah menyelidiki Firman Tuhan. Beberapa orang melakukan kesilapan apabila berfikir mereka dapat menghadapi Alkitab dengan pemikiran yang hanya bergantung kepada Roh Kudus dan dengan cara itu akan menemui semua kebenaran-kebenaran tersembunyi dalam Alkitab. Kristus, dalam memberikan Roh Kudus, telah memberikan kepada umat yang mempunyai karunia-karunia rohani kepada tubuh Kristus. Salah satu daripada karunia-karunia rohani itu adalah karunia mengajar (Efesus 4:11-12; 1 Korintus 12:28). Guru-guru ini telah diberikan Tuhan untuk membantu kita dapat memahami dan mentaati Firman Tuhan dengan betul. Adalah bijak untuk sentiasa menyelidiki Firman Tuhan dengan orang-orang percaya yang lain, saling membantu dalam memahami dan menerapkan kebenaran Firman Tuhan.

Jadi apakah kesimpulan terbaik tentang cara menyelidiki Alkitab? Pertama, melalui doa dan kerendahan hati, kita mesti bergantung kepada Roh Kudus untuk memberi kita pemahaman. Kedua, kita perlu menyelidiki Firman Tuhan di dalam konteksnya sebab kita menyedari bahawa Alkitab dapat menjelaskan dirinya sendiri. Ketiga, kita harus hormati usaha orang-orang Kristian yang lain,dahulu dan sekarang, yang juga telah berusaha mengkaji Firman Tuhan dengan teratur. Ingat, Tuhan Allah merupakan Penulis Alkitab, Dia mahu kita memahaminya.

Soalan: Apakah ertinya Alkitab itu diilhamkan?

Jawapan: Apabila orang berkata Alkitab itu diilhamkan, mereka merujuk kepada kenyataan yang Allah telah mempengaruhi secara ilahi penulis-penulis Alkitab dengan sedemikian rupa sehingga apa yang mereka tuliskan benar-benar adalah Firman Tuhan. Dalam konteks Firman Tuhan, perkataan ?diilhami? bererti ?diberi nafas oleh Tuhan?. Pengilhaman bererti Alkitab merupakan Firman Tuhan dan ini membuatkan Alkitab itu sangat unik di kalangan semua kitab-kitab yang ada.

Walaupun terdapat pandangan yang berbeza tentang sejauh mana Alkitab itu diilhami, Alkitab itu sendiri mengaku bahawa setiap perkataan dan bahagian Firman itu berasal dari Tuhan adanya (1 Korintus 2:12-13; 2 Timotius 3:16-17). Pandangan ini sering dirujuk sebagai pengilhaman ?kata demi kata yang mutlak?. Ini bererti pengilhaman berlaku ke semua bahagian Firman Tuhan ?bukan setakat konsep atau buah fikiran- dan semua perkara yang disebut dalam Firman Tuhan. Ada pendapat mengatakan hanya bahagian-bahagian tertentu atau hanya konsep yang bercakap tentang keagamaan sahaja yang telah diilhamkan, tetapi pandangan ini bercanggah dengan apa yang diakui oleh Alkitab. Pengilhaman sepenuh secara kata demi kata yang mutlak merupakan ciri-ciri penting Firman Tuhan.

Keluasan pengilhaman Firman Tuhan dapat dilihat dengan sangat jelas dalam 2 Timotius 3: 16-17, ?Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran. Dengan demikian tiap-tiap manusia kepunyaan Allah diperlengkapi untuk setiap perbuatan baik.? Ayat-ayat ini berkata kepada kita bahawa Tuhan telah mengilhamkan kesemua Firman Tuhan dan ianya bermanfaat untuk kita. Bukan hanya bahagian-bahagian tertentu dalam Alkitab yang bercakap tentang agama sahaja yang telah diilhamkan tetapi semua perkataan dari Kejadian sampai Wahyu. Oleh sebab Alkitab telah diilhamkan oleh Tuhan, maka Firman Tuhan itu berwibawa apabila memberikan pengajaran dan cukup untuk mengajar manusia tentang bagaimana hendak memiliki perhubungan yang betul dengan Tuhan. Alkitab bukan hanya mengaku telah diilhamkan oleh Tuhan, tetapi juga mempunyai kemampuan yang luarbiasa untuk mengubah dan menjadikan hidup kita ?lengkap?.

Ayat lain yang bercakap tentang pengilhaman Roh Kudus ialah 2 Petrus 1:21. Ayat ini berkata, walaupun Tuhan manggunakan manusia yang berbeza keperibadian dan gaya penulisan, Tuhan telah mengilhamkan setiap perkataan yang mereka telah tuliskan. Yesus sendiri telah meneguhkan pengilhaman kata demi kata yang mutlak apabila Dia berkata, "Janganlah kamu menyangka, bahwa Aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya. Karena Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya selama belum lenyap langit dan bumi ini, satu iota atau satu titik pun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi.? (Matius 5:17-18) Dalam ayat-ayat ini, Yesus menegaskan ketepatan Firman Tuhan sehinggalah ke butiran terkecil dan tanda baca yang terhalus sekalipun, sebab ia memang dan benar-benar Firman Tuhan.

Pandangan yang betul tentang Tuhan akan membawa kita kepada pandangan yang betul pula terhadap Firman-Nya. Kerana Tuhan maha-berkuasa, maha-tahu dan sungguh sempurna adanya, Firman-Nya juga akan mempunyai ciri-ciri yang sama. Ayat-ayat yang telah mengukuhkan pengilhaman Firman Tuhan juga mengukuhkan Firman Tuhan yang tidak mengandungi kesalahan dan berwibawa. Tanpa diragukan lagi, Alkitab adalah seperti apa yang diakuinya, iaitu Firman Tuhan yang tidak dapat disangkal dan yang berwibawa.