Hukuman daripada Tuhan
9
Aku nampak Tuhan berdiri di sisi mazbah. Dia memberikan perintah ini, “Pukullah kuat-kuat kepala tiang di Rumah-Ku supaya seluruh serambi bergoncang. Pecahkan kepala-kepala tiang itu dan biarlah semuanya jatuh ke atas kepala orang. Orang yang tidak mati akan Kubunuh dalam peperangan. Tidak seorang pun akan dapat melarikan diri untuk menyelamatkan diri. Walaupun mereka menggali lubang sampai ke dunia orang mati, Aku akan menangkap mereka. Walaupun mereka memanjat sampai ke langit, Aku akan membawa mereka turun. Jika mereka bersembunyi di puncak Gunung Karmel, Aku akan mencari dan menangkap mereka. Jika mereka bersembunyi di dasar laut, Aku akan memberikan perintah kepada naga lautl untuk menggigit mereka. Jika mereka dibawa ke pembuangan oleh musuh, Aku akan memberikan perintah supaya mereka dibunuh. Aku bertekad membinasakan mereka, dan tidak akan menolong mereka.”
Apabila TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyentuh bumi,
bergempalah bumi,
dan semua penduduknya meratap.
Seluruh dunia naik turun seperti Sungai Nil.
TUHAN membina tempat tinggal-Nya di angkasa,
di atas bumi dipasang-Nya langit sebagai kubah.
Dia memanggil air dari lautan,
dan mencurahkannya di daratan,
TUHAN itulah nama-Nya.
TUHAN berfirman, “Hai umat Israel, Aku mempedulikan orang Etiopiam sama seperti Aku mempedulikan kamu. Aku membawa orang Filistin dari Kreta dan orang Siria dari Kir sama seperti Aku membawa kamu dari Mesir. Aku, TUHAN Raja, sedang mengamati kerajaan Israel yang berdosa ini, dan Aku akan melenyapkannya dari muka bumi. Namun Aku tidak akan membinasakan semua keturunan Yakub.
Aku akan memberikan perintah, dan Aku akan menampi umat Israel seperti orang menampi gandum dengan penampi. Aku akan menampi mereka antara bangsa-bangsa untuk membuang semua yang tidak berguna. 10 Orang berdosa di kalangan umat-Ku berkata, ‘Allah tidak akan membiarkan kita ditimpa malapetaka.’ Tetapi sesungguhnya mereka akan dibunuh dalam peperangan.”
Israel akan Dipulihkan
11 TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku memulihkan kerajaan Daud. Sekarang kerajaan itu telah menjadi seperti rumah yang runtuh. Aku akan memperbaiki temboknya dan membinanya semula sehingga menjadi seperti dahulu kala. 12 Umat Israel akan menakluki bahagian negeri Edom yang terselamat, dan semua negeri yang pernah menjadi milik-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang akan melaksanakan hal itu. +
13 TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba,
apabila gandum tumbuh dengan sangat cepat
sehingga musim menuai tidak ada putusnya.
Pokok anggur akan bertumbuh dengan sangat pesat
sehingga pembuatan wain tidak ada hentinya.
Wain manis akan menitis dari pergunungan,
dan mengalir dari perbukitan.
14 Aku akan membawa umat-Ku Israel balik ke negeri mereka.
Mereka akan membina semula
kota-kota yang sudah menjadi reruntuhan,
mereka akan tinggal di sana.
Mereka akan menanam pokok anggur
dan minum wain.
Mereka akan bercucuk tanam
dan makan hasil tanaman.
15 Aku akan menempatkan umat-Ku
di negeri yang sudah Kuberikan kepada mereka.
Mereka tidak akan dibuang lagi.”
TUHAN, Allah kamu sudah berfirman.
l 9:3 naga laut: Pada zaman itu orang percaya bahawa ada naga atau ular raksasa di laut. Ular itu, seperti semua makhluk lain, dikendalikan oleh Allah. m 9:7 Etiopia: Pada zaman dahulu, negeri ini terletak di sempadan negeri Mesir. Negeri ini juga dikenali sebagai Kus. + 9:12 Kis 15.16-18