SURAT PAULUS
KEPADA JEMAAH DI
GALATIA
Kata Pengantar
Ketika Berita Baik tentang Yesus mula dikhabarkan dan disambut di kalangan orang bukan Yahudi, timbullah persoalan sama ada seseorang mesti taat kepada Taurat Musa untuk menjadi seorang Kristian sejati. Paulus menjelaskan bahawa hal ini tidak perlu. Satu-satunya syarat mutlak untuk menjadi orang Kristian adalah kepercayaan kepada Kristus. Dengan kepercayaan itu hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula. Tetapi di kalangan jemaah di Galatia, negeri di Asia Kecil yang dikuasai Empayar Roma, ada orang yang menentang Paulus. Mereka berpendapat bahawa orang juga mesti taat kepada Taurat Musa untuk berbaik semula dengan Allah.
Surat Paulus kepada Jemaah di Galatia ditulis untuk memimpin orang yang disesatkan oleh ajaran salah itu, supaya taat semula kepada ajaran benar. Mula-mula Paulus membela haknya sebagai rasul Yesus Kristus. Dia menegaskan bahawa panggilannya untuk menjadi rasul datang daripada Allah, bukan daripada manusia. Dia juga memberitahukan bahawa tugasnya ditujukan terutamanya kepada orang bukan Yahudi (1-2). Kemudian dia menjelaskan bahawa hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula hanya melalui kepercayaan kepada Allah (3-4). Dalam fasal-fasal terakhir (5-6), Paulus menunjukkan bahawa kelakuan orang Kristian berpunca daripada kasih yang timbul dalam diri mereka kerana percaya kepada Kristus.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-10
Hak Paulus sebagai Rasul 1.11—2.21
Berita Baik tentang Rahmat Allah 3.1—4.31
Kebebasan dan Kewajipan orang Kristian 5.1—6.10
Penutup 6.11-18
1
Aku, Paulus, menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Aku dilantik menjadi rasul oleh Yesus Kristus dan Allah Bapa kita yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. Aku menjadi rasul bukan dengan perantaraan manusia ataupun kerana dilantik oleh manusia. Semua saudara Kristian di sini turut menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia.
Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya untuk mentaati kehendak Allah Bapa kita. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin.
Satu-satunya Berita Baik
Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus.a Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah!
10 Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus.
Bagaimana Paulus Menjadi Rasul
11 Saudara-saudaraku, kamu harus tahu bahawa Berita Baik yang aku khabarkan itu tidak berasal daripada manusia. 12 Aku tidak menerima Berita itu daripada manusia. Tiada seorang pun mengajarkannya kepadaku. Yesus Kristus sendirilah yang menyatakan Berita Baik itu kepadaku.
13 Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. + 14 Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. +
15 Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. 16 Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. + 17 Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. 18 Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. + 19 Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus,b saudara Tuhan.
20 Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta.
21 Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. 22 Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. 23 Mereka hanya mendengar orang berkata, “Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.” 24 Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku.
a 1:6 kerana rahmat Kristus; Beberapa buah naskhah kuno: kerana rahmat-Nya. + 1:13 Kis 8.3, 22.4-5, 26.9-11 + 1:14 Kis 22.3 + 1:16 Kis 9.3-6, 22.6-10, 26.13-18 + 1:18 Kis 9.26-30 b 1:19 rasul-rasul lain, kecuali Yakobus; atau rasul-rasul lain; aku hanya berjumpa dengan seorang lain iaitu Yakobus.