Allah Akan Menghukum Mesir
19
Inilah perkhabaran TUHAN tentang Mesir.
TUHAN datang ke Mesir mengendarai awan yang laju. Berhala-berhala Mesir gementar di hadapan-Nya dan penduduk Mesir hilang semangat. TUHAN berfirman, “Aku akan menyebabkan perang saudara di Mesir: saudara melawan saudara, jiran melawan jiran, kota melawan kota, dan raja melawan raja untuk merebut kuasa. Aku akan menggagalkan rancangan orang Mesir dan mematahkan semangat mereka. Mereka akan minta pertolongan daripada berhala-berhala mereka, minta nasihat dan petunjuk daripada bomoh dan arwah. Tetapi Aku akan menyerahkan orang Mesir kepada seorang raja yang zalim. Mereka akan dijajah olehnya. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
Air Sungai Nil akan surut dan beransur-ansur mengering. Terusan-terusannya akan berbau busuk apabila airnya semakin habis. Rumput dan gelagah akan menjadi layu, dan segala tanaman di tepi sungai itu menjadi kering lalu diterbangkan angin. Tiap-tiap nelayan yang menangkap ikan di Sungai Nil akan meratap dan menangis; pancing dan jala mereka tidak berguna lagi. Orang yang membuat kain linen akan putus asa; 10 penenun dan buruh upahan akan bersedih dan patah semangat.
11 Pemimpin-pemimpin kota Zoan sungguh dungu! Penasihat-penasihat raja Mesir memberikan nasihat yang bodoh! Alangkah beraninya mereka memberitahu raja bahawa merekalah yang menggantikan orang bijak serta raja purbakala! 12 Hai raja Mesir, di manakah penasihat raja yang bijak-bijak itu? Mungkin mereka dapat meramalkan rancangan TUHAN Yang Maha Kuasa bagi Mesir. 13 Pemimpin Zoan dan Memfis sungguh bodoh! Seharusnya mereka memimpin bangsa itu, tetapi mereka telah menyesatkan bangsa itu. 14 TUHAN sengaja menyebabkan mereka memberikan nasihat yang mengelirukan. Akibatnya, Mesir salah dalam segala hal dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk tergelincir di atas muntahnya sendiri. 15 Tiada sesiapa pun di Mesir dapat memberikan pertolongan, baik yang kaya ataupun yang miskin, yang terkemuka ataupun yang tidak.
Mesir Akan Menyembah TUHAN
16 Masanya akan tiba apabila orang Mesir akan menjadi seperti wanita yang penakut. Mereka akan gementar ketakutan apabila melihat TUHAN Yang Maha Kuasa merentangkan tangan-Nya untuk menghukum mereka. 17 Orang Mesir akan menjadi takut terhadap Yehuda tiap-tiap kali mereka diingatkan kepada keputusan TUHAN Yang Maha Kuasa tentang mereka.
18 Pada masa itu kelak, bahasa Ibrani akan digunakan orang di lima buah kota di negeri Mesir. Orang di sana akan mengangkat sumpah demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa. Salah sebuah kota itu akan dinamakan “Kota Matahari.”
19 Pada masa itu kelak, di negeri Mesir akan ada sebuah mazbah untuk TUHAN, dan sebuah tugu peringatan bagi-Nya di sempadan negeri. 20 Mazbah dan tugu itu akan menjadi lambang hadirat TUHAN Yang Maha Kuasa di Mesir. Apabila orang di situ ditindas, lalu mereka berseru kepada TUHAN minta pertolongan, Dia akan mengirim seorang untuk menyelamatkan mereka. 21 TUHAN akan menyatakan diri kepada orang Mesir, dan mereka akan mengakui serta menyembah Dia, dan memberikan korban dan persembahan kepada-Nya. Mereka akan bersumpah kepada-Nya dan menepati sumpah itu. 22 TUHAN akan menghukum orang Mesir, tetapi selepas itu Dia akan menyembuhkan mereka. Mereka akan kembali kepada-Nya, dan Dia akan mendengarkan doa mereka serta menyembuhkan mereka.
23 Pada masa itu kelak, akan ada lebuh raya di antara Mesir dan Asyur. Penduduk dari dua buah negeri itu akan berulang-alik di lebuh raya itu dan beribadat bersama-sama. 24 Pada masa itu kelak, Israel akan sama kedudukannya dengan Mesir dan Asyur, dan ketiga-tiga bangsa itu akan menjadi berkat bagi seluruh dunia. 25 TUHAN Yang Maha Kuasa akan memberkati mereka dan berfirman, “Aku akan memberkati kamu, hai Mesir umat-Ku, Asyur ciptaan-Ku, dan Israel umat pilihan-Ku.” +
+ 19:25 Yer 46.2-26; Yeh 29.1—32.32