Para Utusan dari Babilonia
(2 Raj 20.12-19)
39
Kira-kira pada masa itu, raja Babilonia, iaitu Raja Merodakh Baladan anak Baladan mendengar bahawa Raja Hizkia gering dan baru sembuh. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia. Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudangnya atau di seluruh kerajaannya yang tidak ditunjukkan kepada mereka. Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?”
Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.”
“Apakah yang dilihat mereka di istana?” tanya Yesaya lagi.
“Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia.
Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN Yang Maha Kuasa, masanya akan tiba apabila segala sesuatu di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan oleh nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal. Beberapa orang daripada keturunan tuanku sendiri akan dibawa dan dijadikan sida-sida untuk bertugas di istana raja Babilonia.” +
Raja Hizkia berfikir bahawa selama hidup baginda, kerajaannya akan aman dan damai. Oleh itu baginda menjawab, “Firman TUHAN yang kamu sampaikan itu baik.”
+ 39:7 Dan 1.1-7; 2 Raj 24.10-16; 2 Taw 36.10