TUHAN Menawarkan Belas Kasihan
55
TUHAN berfirman,
“Marilah, setiap orang yang haus,
minumlah air yang tersedia.
Marilah, kamu yang tidak mempunyai wang,
terimalah gandum dan makanlah.
Mari! Terimalah wain dan susu,
tanpa membayar apa-apa. +
Mengapakah kamu membeli sesuatu yang tidak memuaskan?
Mengapakah kamu bekerja untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan?
Dengarlah firman-Ku dan turutlah perintah-Ku,
maka kamu akan menikmati makanan yang terbaik.
Sekarang dengarlah, hai umat-Ku;
datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup.
Aku akan mengadakan perjanjian yang kekal dengan kamu,
dan memberi kamu berkat yang Kujanjikan kepada Daud. +
Aku menjadikan dia seorang pemimpin dan panglima bangsa-bangsa,
dan melalui dia, Aku menunjukkan kuasa-Ku kepada mereka.
Kamu akan memanggil bangsa-bangsa asing untuk menghadap;
pada suatu masa dahulu mereka tidak mengenal kamu,
tetapi sekarang mereka berlari kepada kamu.
Aku, TUHAN Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci
akan melaksanakan segala perkara ini;
Aku akan mengagungkan kamu.”
Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat;
berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat.
Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka,
dan mengubah jalan fikiran mereka.
Biarlah mereka kembali kepada TUHAN, Allah kita,
kerana Dia berbelas kasihan dan sentiasa sedia mengampuni.
TUHAN berfirman, “Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu,
dan jalan-Ku bukan seperti jalan kamu.
Setinggi langit dari bumi,
setinggi itulah jalan-Ku daripada jalanmu,
dan fikiran-Ku daripada fikiranmu.
10 Firman-Ku seperti salji dan hujan
yang turun dari langit untuk membasahi bumi,
serta menumbuhkan tanaman
sehingga menghasilkan benih untuk ditanam
dan makanan untuk dimakan. +
11 Demikian jugalah firman yang Aku ucapkan
akan berjaya mencapai tujuan-Ku,
dan melakukan setiap perkara yang Aku tentukan.
12 Kamu akan meninggalkan Babel dengan sukacita,
kamu akan dipimpin keluar dari kota itu dengan kedamaian.
Gunung dan bukit akan bernyanyi dengan gembira,
semua pokok di padang akan bertepuk tangan.
13 Pokok sipres akan menggantikan semak duri,
pokok kemunting menggantikan semak belukar.
Kejadian ini sebagai tanda yang kekal,
peringatan bahawa Aku, TUHAN, telah melakukannya.”
+ 55:1 Why 21.6, 22.17 + 55:3 Kis 13.34 + 55:10 2 Kor 9.10