Yeremia Bertengkar dengan Imam Pasyhur
20
Imam Pasyhur anak Imer ialah ketua pegawai Rumah TUHAN. Ketika dia mendengar aku mengisytiharkan semua hal itu, dia memberikan perintah untuk memukul dan merantai aku di Pintu Gerbang Benyamin, gerbang bahagian atas di Rumah TUHAN. Esok paginya, setelah Pasyhur membuka rantaiku, aku berkata kepadanya, “Nama yang akan diberikan oleh TUHAN kepadamu bukan Pasyhur, tetapi ‘Ketakutan Di Mana-Mana’. TUHAN sendiri berfirman, ‘Aku akan menjadikan engkau ketakutan bagi dirimu dan bagi kawan-kawanmu. Engkau akan nampak mereka semua dibunuh oleh musuh dengan pedang. Aku akan membiarkan semua orang Yehuda dikuasai oleh raja Babilonia; sebilangan daripada mereka akan diangkutnya sebagai orang tawanan ke negerinya, dan mereka yang tidak diangkut akan dibunuh. Aku akan membiarkan musuh mereka menjarah dan mengangkut semua kekayaan kota ini serta semua harta miliknya ke Babilonia, bahkan harta pusaka raja-raja Yehuda. Engkau pula, hai Pasyhur, akan ditangkap dan diangkut ke Babilonia bersama dengan semua anggota keluargamu. Di sana engkau akan mati dan dikuburkan bersama dengan semua kawanmu yang telah mendengarkan dustamu.’”
Yeremia Bersungut kepada TUHAN
Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku
dan aku telah tertipu.
Engkau lebih kuat daripada aku
dan telah mengalahkan aku.
Aku diejek oleh setiap orang,
dihina dari pagi sampai petang.
Setiap kali aku berkata-kata,
aku mesti berteriak sekuat-kuatnya,
“Keganasan! Kemusnahan!”
Ya TUHAN, aku diejek dan dihina setiap waktu,
kerana aku menyampaikan perkhabaran-Mu.
Tetapi apabila aku berkata,
“Biarlah aku melupakan TUHAN,
aku tidak mahu berucap demi nama-Nya lagi,”
maka perkhabaran-Mu bagaikan api
yang membara dalam hati sanubari.
Aku telah cuba menahannya,
tetapi aku tidak berdaya.
10 Aku mendengar orang berbisik di mana-mana,
“Ketakutan merajalela!
Mari laporkan dia kepada yang berkuasa!”
Bahkan semua sahabat karibku
menunggu kejatuhanku.
Mereka berkata, “Mungkin dengan penipuan,
dia dapat kita kalahkan,
supaya dapatlah kita
membalas dendam kepadanya.”
11 Tetapi, Engkau, ya TUHAN, memihak aku;
Engkau kuat dan perkasa.
Mereka yang menganiaya aku
akan jatuh dan tidak berdaya.
Mereka akan dipermalukan selama-lamanya,
kerana rancangan mereka tidak berjaya.
Kehinaan mereka itu akan diingat selalu.
12 Tetapi, ya TUHAN Yang Maha Kuasa,
dengan adil Engkau menguji manusia;
Engkau tahu akan isi hati dan fikiran mereka.
Oleh itu perkenanlah aku
melihat Engkau membalas kejahatan musuhku,
kerana aku menyerahkan perkaraku kepada-Mu.
13 Bernyanyilah bagi TUHAN!
Pujilah TUHAN!
Dia melepaskan orang tertindas
daripada kuasa orang durjana.
14 Terkutuklah hari kelahiranku!
Lupakanlah hari ketika ibuku melahirkan aku!
15 Terkutuklah pembawa berita
yang menyebabkan bapaku gembira,
ketika berita disampaikan kepadanya,
“Engkau mendapat seorang anak lelaki!”
16 Biarlah si pembawa berita itu seperti kota-kota
yang dihancurkan oleh TUHAN tanpa kasihan.
Biarlah dia mendengar jeritan kesakitan pada waktu pagi,
dan tempik pertempuran pada tengah hari,
17 kerana dia tidak membunuh aku
ketika aku masih dalam kandungan,
supaya aku tetap dikandung ibuku
dan rahim ibu menjadi kuburku.
18 Mengapa aku dilahirkan?
Adakah hanya untuk menderita
dan mengalami kesusahan?
Adakah hidupku akan berlalu
semata-mata untuk mendapat malu? +
+ 20:18 Ayb 3.1-19