Perkhabaran Yeremia bagi Keluarga Diraja Yehuda
22
1-2 TUHAN menyuruh aku pergi ke istana raja Yehuda, keturunan Raja Daud, untuk menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada raja dan kepada para pegawainya, serta penduduk Yerusalem. Inilah firman TUHAN kepada mereka, “Lakukanlah apa yang adil dan jujur. Lepaskanlah orang yang ditipu daripada kekuasaan orang yang menipunya. Jangan tindas atau berbuat jahat terhadap orang asing, anak yatim piatu atau balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di tempat yang suci ini. Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku, maka keturunan Daud akan tetap menjadi raja. Mereka bersama dengan para pegawai dan rakyat mereka akan melalui pintu gerbang istana ini dengan mengendarai kereta kuda dan menunggang kuda. Tetapi jika kamu tidak mentaati perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa istana ini akan menjadi runtuhan. Aku, TUHAN, telah berfirman. +
Bagi-Ku, istana raja Yehuda seindah tanah Gilead dan Pergunungan Lebanon, tetapi tempat itu akan Kujadikan gurun yang tidak didiami orang. Aku akan mengirim orang untuk menghancurkannya. Mereka akan membawa kapak, lalu merobohkan tiang-tiangnya yang indah, yang dibuat daripada kayu sedar. Kemudian mereka akan melemparkannya ke dalam api.
Selepas itu banyak orang asing akan lalu di situ dan bertanya kepada satu sama lain, mengapa Aku, TUHAN, telah bertindak begitu terhadap kota yang besar itu. Kemudian mereka akan menjawab bahawa semua itu berlaku kerana kamu telah mengingkari perjanjian kamu dengan Aku, Allah kamu, dan telah menyembah serta mengabdi kepada tuhan-tuhan lain.”
Perkhabaran Yeremia tentang Raja Yoahas
10 Hai penduduk Yehuda, jangan tangisi Raja Yosia;
jangan ratapi kemangkatan raja.
Tetapi tangisilah Yoahas, putera raja;
kerana putera itu telah dibawa pergi
dan tidak akan kembali.
Dia tidak akan melihat tanah airnya lagi.
11 Inilah firman TUHAN tentang Raja Yoahas, putera Raja Yosia, yang menjadi raja Yehuda menggantikan ayahandanya, “Dia telah pergi dari sini, dan tidak akan kembali. + 12 Dia akan meninggal di negeri pembuangan, dan dia tidak akan melihat negeri ini lagi.”
Perkhabaran Yeremia tentang Raja Yoyakim
13 Malanglah orang yang mendirikan rumahnya dengan ketidakadilan,
dan membesarkannya dengan ketidakjujuran.
Dia menyuruh orang bekerja tanpa ganjaran,
dan tidak membayar upah mereka.
14 Malanglah orang yang berkata,
“Aku akan mendirikan istana
yang mempunyai bilik-bilik besar di tingkat atas.”
Lalu dia membuat tingkap rumahnya,
dengan bingkai daripada kayu sedar,
lalu mengecatnya dengan warna merah.
15 Adakah engkau menjadi raja yang lebih baik,
jika engkau membina istana dengan kayu sedar,
sehingga lebih cantik daripada istana orang lain?
Bapamu menikmati hidup yang bahagia.
Dia selalu berlaku adil dan tidak berat sebelah,
dan dia berjaya dalam segala usahanya.
16 Dia mengadili perkara orang miskin dengan adil;
segala sesuatu berjalan dengan baik untuknya.
Itulah ertinya mengenal TUHAN.
17 Tetapi engkau hanya mencari keuntungan diri sendiri;
engkau membunuh orang yang tidak bersalah,
dan menindas rakyatmu dengan kejam.
Demikianlah firman TUHAN.
18 Oleh itu, TUHAN berfirman tentang Raja Yoyakim putera Raja Yosia, dari Yehuda,
“Tiada orang yang meratapi kemangkatan baginda;
tiada orang yang berkata,
‘Aduhai sahabatku, aduhai.’
Tiada orang yang menangisinya atau berseru,
‘Kasihan tuanku raja!’ +
19 Yoyakim akan diseret
dan dilempar keluar pintu gerbang Yerusalem,
seperti yang dilakukan orang terhadap bangkai keldai.”
Perkhabaran tentang Kesudahan Yerusalem
20 TUHAN berfirman,
“Hai penduduk Yerusalem, pergilah ke Lebanon dan berteriaklah.
Pergilah ke tanah Basan dan memekiklah;
berserulah dari pergunungan Moab,
kerana semua sekutu kamu sudah dikalahkan.
21 Aku telah berfirman kepada kamu ketika kamu makmur,
tetapi kamu tidak mahu mendengarkan Aku.
Itulah yang kamu lakukan sepanjang hidup kamu;
kamu tidak pernah mahu taat kepada-Ku.
22 Oleh itu, para pemimpin kamu akan lenyap seperti ditiup angin;
sekutu-sekutu kamu akan diangkut sebagai tawanan,
dan kota kamu dihina dan dipermalukan
kerana kamu telah melakukan kejahatan.
23 Kamu tinggal dengan aman
kerana dikelilingi tiang-tiang sedar Lebanon,
tetapi apabila kamu ditimpa kesakitan,
kamu akan menderita seperti wanita yang bersalin.”
Hukuman Allah kepada Raja Yoyakhin
24 TUHAN berfirman kepada Raja Yoyakhin putera Raja Yoyakim, dari Yehuda, “Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tegaskan bahawa walaupun engkau bagaikan cincin meterai pada tangan kanan-Ku, namun Aku akan mencabut engkau, + 25 lalu menyerahkan engkau kepada orang yang engkau takuti, iaitu orang yang ingin membunuh engkau. Aku akan menyerahkan engkau kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan askar-askarnya. 26 Aku akan mengusir engkau dan ibumu, lalu Aku akan membuang kamu ke negeri yang bukan tanah air kamu. Kamu berdua akan mati di sana. 27 Kamu akan sangat merindukan negeri ini, tetapi kamu tidak akan kembali.”
28 Aku, Yeremia berkata, “Adakah Raja Yoyakhin telah menjadi seperti periuk pecah yang dibuang dan tidak disukai lagi? Itukah sebabnya baginda dan anak-anaknya diusir dan dibuang ke negeri yang asing bagi mereka?”
29 Wahai negeriku, tanah airku!
Dengarlah firman TUHAN,
30 “Orang itu telah ditentukan supaya kehilangan anak-anaknya
dan selalu gagal dalam hidupnya.
Dia tidak akan mempunyai keturunan
yang memerintah di Yehuda
sebagai pengganti Daud.
Aku, TUHAN, telah berfirman.”
+ 22:5 Mat 23.38; Luk 13.35 + 22:11 2 Raj 23.31-34; 2 Taw 36.1-4 + 22:18 2 Raj 23:36—24:6; 2 Taw 36:5-7 + 22:24 2 Raj 24.8-15; 2 Taw 36.9-10