Yerusalem Dikepung oleh Musuh
6
Hai orang Benyamin, larilah untuk menyelamatkan diri! Tinggalkanlah Yerusalem! Bunyikan trompet di Tekoa dan nyalakan api isyarat di Bet-Kerem! Bencana dan malapetaka hampir tiba dari utara. Kota Sion indah sekali, tetapi kota itu akan dimusnahkan; raja-raja dengan tentera mereka akan berkhemah di sana. Mereka akan memasang perkhemahan di sekeliling kota itu, masing-masing di tempat yang disukai. Mereka akan berkata, “Bersiaplah untuk menyerang Yerusalem! Bersiaplah! Kita akan menyerbunya pada waktu tengah hari!” Tetapi kemudian mereka akan berkata, “Sudah terlambat! Hari sudah mulai gelap, bayang-bayang sudah mula memanjang. Kita akan menyerbu pada waktu malam, dan menghancurkan kubu-kubu kota itu.”
TUHAN Yang Maha Kuasa telah memerintah raja-raja itu untuk menebang pokok dan membuat tambak untuk mengepung Yerusalem. TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum kota ini kerana banyak sekali penindasan berlaku di situ. Sebagaimana mata air tetap mengeluarkan air, begitu pula kota itu tetap menghasilkan kejahatan. Aku mendengar tentang keganasan dan kemusnahan di kota itu; Aku nampak penyakit dan luka di situ. Hai penduduk Yerusalem, biarlah kesusahan itu menjadi amaran bagi kamu! Jika kamu tidak mengendahkan amaran itu, Aku akan meninggalkan kamu; Aku akan mengubah kota kamu menjadi gurun yang tidak didiami orang.”
Umat Israel Suka Memberontak
TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Israel akan disapu habis seperti ladang anggur yang buah anggurnya telah dipetik semua. Oleh itu, sementara masih ada masa, selamatkanlah orang yang masih hidup.”
10 Aku menjawab, “Siapakah yang akan mendengar aku jika aku memberikan amaran kepada mereka? Mereka degil dan tidak mahu mendengar perkhabaran-Mu; mereka mentertawakan perkhabaran-Mu yang kusampaikan. 11 Kemurkaan-Mu terhadap mereka juga membara dalam diriku, ya TUHAN! Aku tidak dapat menahannya lagi.”
Kemudian TUHAN berfirman, “Lampiaskanlah kemurkaan-Ku terhadap anak-anak di jalan-jalan raya dan kepada orang muda yang sedang berkumpul. Suami isteri akan ditangkap, dan orang yang sudah lanjut usia pun akan ditangkap. 12 Rumah mereka akan diberikan kepada orang lain, begitu juga ladang dan isteri mereka. Aku akan menghukum penduduk negeri ini. 13 Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara yang tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang. 14 Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi sebenarnya sama sekali tidak baik dan tidak aman. + 15 Adakah mereka malu kerana melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, mereka sama sekali tidak tahu malu; mereka sudah tebal muka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh seperti orang lain; riwayat mereka akan tamat apabila Aku menghukum mereka. Aku, TUHAN telah berfirman.” +
Israel Menolak Pimpinan Allah
16 TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Berdirilah di persimpangan jalan dan perhatikanlah baik-baik! Tanyakanlah jalan-jalan purba, dan yang manakah jalan terbaik. Kemudian ikutilah jalan itu, maka kamu akan hidup dengan tenteram.”
Tetapi mereka berkata, “Tidak, kami tidak mahu mengikuti jalan itu!” + 17 Kemudian TUHAN melantik penjaga-penjaga untuk mendengarkan bunyi isyarat trompet. Tetapi mereka berkata, “Kami tidak mahu mendengarkan.”
18 Oleh itu TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Kamu harus tahu apa yang akan berlaku terhadap umat-Ku. 19 Dengarlah, hai bumi! Umat-Ku tidak mahu menerima ajaran-Ku dan tidak taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku mendatangkan malapetaka kepada mereka sebagai hukuman terhadap segala rancangan mereka. 20 Apakah gunanya kemenyan dari Syeba yang dibawa mereka kepada-Ku, atau rempah-rempah dari negeri jauh? Aku tidak mahu menerima persembahan mereka. Aku tidak suka akan korban-korban mereka. 21 Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Bapa dan anak, kawan dan jiran akan mati.”
Serangan dari Utara
22 TUHAN berfirman, “Orang akan datang dari suatu negeri di utara; suatu bangsa yang kuat di negeri jauh sedang bersiap untuk berperang. 23 Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka bengis dan tidak kenal ampun. Bunyi derap kuda mereka yang sedang dipacu bagaikan bunyi laut yang bergelora. Mereka sudah bersiap untuk menyerang Yerusalem.”
24 Penduduk Yerusalem berkata, “Kami telah mendengar berita itu dan kami patah semangat. Kami dicekam perasaan takut dan kesakitan seperti wanita yang bersalin. 25 Kami tidak berani berjalan di jalan raya atau pergi ke ladang, kerana di mana-mana musuh yang bersenjata menimbulkan ketakutan.”
26 TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Pakailah kain guni dan berguling-gulinglah dalam abu. Berkabunglah dan merataplah dengan pedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal, kerana pembinasa akan menyerang kamu dengan tiba-tiba.”
27 Kemudian TUHAN berfirman kepada Yeremia, “Ujilah umat-Ku, seperti engkau menguji logam. Selidikilah kelakuan mereka! 28 Mereka semua pemberontak yang keras kepala, sekeras gangsa dan besi. Mereka berkelakuan buruk dan berjalan ke mana-mana untuk menyebarkan berita yang menjahatkan orang lain. 29 Peleburan sudah sangat panas, tetapi kotoran logam tidak juga menjadi cair dan hilang. Sia-sia sahaja umat-Ku terus-menerus diuji untuk dimurnikan, kerana mereka yang jahat tidak disingkirkan. 30 Mereka akan dinamakan tahi leburan yang tidak berguna, kerana Aku, TUHAN, telah membuang mereka.”
+ 6:14 Yeh 13.10 + 6:15 Yer 8.10-12 + 6:16 Mat 11.29