BERITA BAIK
YANG DISAMPAIKAN OLEH
LUKAS
Kata Pengantar
Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas menyatakan Yesus sebagai Penyelamat yang dijanjikan oleh Allah bagi orang Israel dan umat manusia. Lukas menuliskan catatan bahawa Yesus diutus oleh Roh Tuhan untuk mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Berita Baik itu menumpukan perhatian kepada pelbagai keperluan manusia. Nada kesukaan juga nyata di dalam Kitab Lukas, terutama sekali dalam fasal permulaan yang mengumumkan kedatangan Yesus dan fasal terakhir yang menceritakan Yesus terangkat ke syurga. Kisah perkembangan iman umat Kristian setelah Yesus terangkat ke syurga diceritakan juga oleh Lukas di dalam Kitab Kisah Rasul-Rasul.
Bahagian kedua dan keenam kitab ini (lihat Kandungan) merangkumi hal-hal yang hanya terdapat di dalam Kitab Lukas. Umpamanya, kisah tentang nyanyian malaikat, lawatan para gembala pada masa kelahiran Yesus, Yesus di Rumah Tuhan ketika Dia masih kecil, perumpamaan Orang Samaria yang Baik Hati, dan perumpamaan Anak yang Sesat. Keseluruhan kitab ini menitikberatkan hal doa, Roh Allah, peranan kaum wanita dalam pekerjaan Yesus, dan hal pengampunan dosa oleh Allah.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-4
Kelahiran dan Masa Kanak-Kanak Yohanes Pembaptis dan Yesus 1.5—2.52
Pelayanan Yohanes Pembaptis 3.1-20
Yesus Dibaptis dan Dicubai 3.21—4.13
Pelayanan Yesus di Kalangan Orang Ramai di Galilea 4.14—9.50
Dari Galilea ke Yerusalem 9.51—19.27
Minggu Terakhir di Yerusalem dan Sekitarnya 19.28—23.56
Yesus Bangkit daripada Kematian, Menampakkan Diri, dan Terangkat ke Syurga 24.1-53
Pendahuluan
1
Tuan Teofilus yang terhormat,
Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami. Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar.
Kelahiran Yohanes Pembaptis Diumumkan
Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea,a ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. + Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia.
Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan. Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah. 10 Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. 11 Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. 12 Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. 13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. 14 Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! 15 Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wainb atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah.A + 16 Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. 17 Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.” +
18 Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.”
19 Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. + 20 Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.”
21 Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. 22 Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan.
23 Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. 24 Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan. 25 Elisabet berkata, “Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.”
Kelahiran Yesus Diumumkan
26 Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. 27 Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. + 28 Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!”
29 Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. 30 Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. 31 Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. + 32 Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. 33 Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.” +
34 Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?”
35 Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. 36 Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. 37 Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.” +
38 Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria.
Maria Melawat Elisabet
39 Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. 40 Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. 41 Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, 42 lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! 43 Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? 44 Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. 45 Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!”
Ucapan Syukur Maria
46 Maria berkata,
“Hatiku menyanjung Tuhan;
47 jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku,
48 Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina!
Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, +
49 kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku.
Sucilah nama-Nya.
50 Dia merahmati orang yang menghormati-Nya,
keturunan demi keturunan.
51 Dengan tangan-Nya yang berkuasa
Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong,
dan mengacaukan rancangan mereka.
52 Dia menurunkan raja dari takhta
lalu meninggikan orang hina. +
53 Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik,
tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan.
54 Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita;
Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya.
55 Dia tidak lupa merahmati Abraham
dan keturunannya selama-lamanya!” + +
56 Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah.
Kelahiran Yohanes Pembaptis
57 Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. 58 Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia.
59 Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya. + 60 Tetapi ibunya berkata, “Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes.”
61 Mereka berkata kepadanya, “Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu.” 62 Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya.
63 Zakharia meminta sebuah papan tulis lalu menulis, “Namanya Yohanes.” Mereka semua hairan. 64 Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah. 65 Semua jirannya ketakutan dan berita ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. 66 Semua orang yang mendengar perkara itu berkata dalam hati, “Anak ini tentu akan menjadi orang besar.” Mereka berkata demikian kerana nyata sekali kuasa Tuhan menyertainya.
Nubuat Zakharia
67 Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata,
68 “Marilah kita memuji Tuhan,
Allah bangsa Israel!
Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya
dan membebaskan mereka.
69 Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa,
seorang keturunan Daud, hamba-Nya.
70 Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji
71 akan menyelamatkan kita daripada musuh,
dan daripada kuasa orang yang membenci kita.
72 Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita,
serta ingat akan janji-Nya yang suci itu.
73-74 Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham,
dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh,
serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut,
75 supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nyac
sepanjang hidup kita.
76 Engkau, hai anakku, akan disebut
nabi Allah Yang Maha Tinggi.
Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya, +
77 supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan,
apabila Allah mengampunkan dosa mereka.
78-79 Allah kita pengasih dan penyayang.
Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang
bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang
yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut.
Dia akan memimpin kita
ke jalan yang menuju kedamaian.” +
80 Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang gurun sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel.
a 1:5 Yudea: Istilah ini merujuk kepada seluruh tanah Palestina. + 1:5 1 Taw 24.10 b 1:15 wain: Minuman yang dihasilkan daripada peraman air anggur. A 1:15 Roh Allah; Harfiah: Roh Kudus. + 1:15 Bil 6.3 + 1:17 Mal 4.5-6 + 1:19 Dan 8.16, 9.21 + 1:27 Mat 1.18 + 1:31 Mat 1.21 + 1:33 2 Sam 7.12, 13, 16; Yes 9.7 + 1:37 Kej 18.14 + 1:48 1 Sam 1.11 + 1:52 Ayb 5.11, 12.19 + 1:55 1 Sam 2.1-10 + 1:55 Kej 17.7 + 1:59 Im 12.3 c 1:75 menyenangkan hati-Nya; Harfiah: kebenaran. + 1:76 Mal 3.1 + 1:78-79 Yes 9.2