Pemuzik di Rumah TUHAN
25
Untuk memimpin upacara-upacara ibadat, Raja Daud dan para pemimpin orang Lewi memilih puak-puak daripada suku Lewi yang berikut: Asaf, Heman, dan Yedutun. Mereka ditugaskan untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan diiringi kecapi, gambus, dan simbal. Untuk memimpin ibadat dengan upacaranya, dipilih kumpulan-kumpulan yang berikut:
Empat orang anak lelaki Asaf: Zakur, Yusuf, Netanya, dan Asarela. Pemimpin mereka ialah Asaf, yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, apabila disuruh oleh raja.
Enam orang anak lelaki Yedutun: Gedalya, Zeri, Yesaya, Simei, Hasabya, dan Matica. Di bawah pimpinan bapa mereka, mereka menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan diiringi kecapi. Mereka menyanyikan lagu pujian dan lagu kesyukuran kepada TUHAN.
Empat belas orang anak lelaki Heman: Bukia, Matanya, Uziel, Sebuel, Yerimot, Hananya, Hanani, Eliata, Gidalti, Romamti-Ezer, Yosbekasa, Maloti, Hotir, dan Mahaziot. Heman ialah nabi peribadi raja. TUHAN mengurniakan empat belas orang anak lelaki itu dan tiga orang anak perempuan kepada Heman kerana TUHAN telah berjanji untuk memberikan kedudukan terhormat kepadanya. Semua anak lelaki Heman itu memainkan simbal, kecapi, dan gambus di bawah pimpinan bapa mereka untuk mengiringi upacara ibadat di dalam Rumah TUHAN. Asaf, Yedutun, dan Heman mendapat tugas menurut petunjuk daripada raja.
Kesemua 24 orang lelaki itu dan sanak saudara mereka ialah ahli muzik yang terlatih. Mereka semua berjumlah 288 orang.
Untuk menentukan giliran bertugas, mereka semua membuang undi, baik yang muda mahupun yang tua, baik yang berpengalaman mahupun yang baru belajar.
9-31 Kesemua 288 orang itu dibahagikan kepada 24 kumpulan menurut keluarga masing-masing. Tiap-tiap kumpulan terdiri daripada 12 orang di bawah pimpinan seorang pemimpin. Inilah susunan nama mereka menurut giliran bertugas:
1. Yusuf daripada keluarga Asaf 13. Subael
2. Gedalya 14. Matica
3. Zakur 15. Yeremot
4. Yizri 16. Hananya
5. Netanya 17. Yosbekasa
6. Bukia 18. Hanani
7. Yesarela 19. Maloti
8. Yesaya 20. Eliata
9. Matanya 21. Hotir
10. Simei 22. Gidalti
11. Azareel 23. Mahaziot
12. Hasabya 24. Romamti-Ezer.