1 Yahya
1
Firman Tuhan yang hidup
Apa yang telah wujud sejak dari mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami sentuh dengan tangan – itulah yang kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup. Hidup itu telah ditunjukkan; kami telah melihat, dan memberikan kesaksian, serta memberitahumu tentang hidup kekal bersama Bapa yang telah ditunjukkan kepada kami. Kami memberitahumu apa yang telah kami lihat dan dengar, supaya kamu juga dapat bersaudara dengan kami. Sesungguhnya kami hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih. Kami menulis tentang segala ini kepadamu supaya kebahagiaanmu sempurna.
Allah itu cahaya
Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu: Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya. Sekiranya kita mengatakan bahawa kita hidup dalam keakraban dengan-Nya sedangkan kita melangkah dalam kegelapan, maka kita berdusta dan tidak mengamalkan kebenaran. Tetapi jika kita melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud dalam cahaya, maka benar-benarlah kita hidup dalam persaudaraan satu sama lain, dan darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa.
Sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak berdosa, ertinya kita menipu diri kita sendiri dan kebenaran tidak ada di dalam diri kita. Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan. 10 Namun sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak pernah berdosa, kita menuduh Allah itu pendusta, dan firman-Nya tiada di dalam diri kita.