5
Dosa dalam Jemaah
Aku dimaklumkan bahawa di kalanganmu ada perbuatan cabul yang tidak pernah dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Tuhan pun: Seorang lelaki berzina dengan isteri ayahnya. Namun begitu, kamu masih bermegah. Sewajarnya kamu bersedih dan bertindak menyingkirkan orang yang melakukan perbuatan itu. Walaupun pada lahirnya aku jauh daripadamu, namun pada batinnya aku bersamamu. Aku pun sudah menjatuhkan hukuman atas orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah aku berada di tengah-tengah kamu. Apabila kamu berhimpun demi nama Junjungan kita Isa, sifatkanlah aku ada di kalanganmu pada batinnya dan dengan kuasa Junjungan kita Isa serahkanlah orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dimusnahkan tetapi rohnya dapatlah diselamatkan pada hari Junjungan datang kembali.
Kamu tidak harus bermegah. Tentu kamu mengenal pepatah ini: ‘Sedikit ragi mencemari seluruh adunan.’ Buanglah ragi lama supaya kamu menjadi adunan baru tanpa ragi. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya begitu. Kerana al-Masih, domba Paska kita telah dikorbankan. Marilah kita sambut perayaan Paska bukan dengan ragi yang lama, ragi lambang kejahatan dan kezaliman, melainkan dengan roti yang tidak beragi, iaitu ketulusan hati dan keikhlasan.
Dalam suratku yang lalu, aku telah menyerumu supaya menjauhkan diri daripada orang yang cabul. 10 Orang cabul yang kumaksudkan bukanlah yang tidak mengenal Allah maka berkelakuan cabul, tamak, menipu dan menyembah berhala. Untuk menjauhkan diri daripada mereka ini, terpaksalah kamu keluar dari dunia ini. 11 Maksudku ialah kamu tidak harus bergaul dengan orang yang mengaku dirinya sebagai saudara tetapi pada hakikatnya orang yang cabul, tamak, penyembah berhala, pengumpat, pemabuk atau penipu. Janganlah makan bersama mereka.
12 Apakah urusanku sehingga aku harus mengadili orang di luar jemaah? Bukankah kamu hanya mengadili orang di dalam jemaah saja? 13 Tetapi bagi yang di luar jemaah, Allah sendiri akan mengadili mereka. Oleh itu, kamu harus singkirkan orang yang durjana dari kalanganmu.