2
Oleh itu, singkirkan segala niat jahat, penipuan, kepura-puraan, iri hati dan semua fitnah. Seperti bayi yang baru lahir, hendaklah kamu selalu haus akan air susu suci firman Allah, supaya kamu bertumbuh subur sehingga beroleh penyelamatan. Kamu sendiri telah mengalami kebaikan Tuhan.
Isa al-Masih batu penjuru
Datanglah kepada Dia yang seperti batu hidup, yang dibuang oleh manusia tetapi dipilih oleh Allah dan berharga di hadirat-Nya. Kamu juga umpama batu hidup, yang digunakan untuk membina rumah rohani bagi para imam yang suci, untuk mempersembahkan korban rohani yang diredai Allah melalui Isa al-Masih. Ada tersurat di dalam Kitab Suci:
 
‘Lihatlah, Kuletakkan di Sion,
batu penjuru yang terpilih, berharga,
dan sesiapa yang percaya kepada-Nya
tidak akan diaibkan.’
 
Bagi kamu yang percaya, batu itu berharga, tetapi bagi mereka yang tidak percaya,
 
‘Batu yang dibuang oleh pembina
telah menjadi batu penjuru,’
 
dan,
 
‘Batu tempat orang tersandung
dan sebuah batu pejal yang membuat
mereka terjatuh.’
 
Mereka tersandung kerana mereka ingkar akan firman Allah, yang telah ditetapkan bagi mereka.
Tetapi kamu umat terpilih, para imam Raja, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggilmu daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang. 10 Dahulu kamu bukan suatu umat tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mendapat belas kasihan Allah tetapi sekarang kamu telah mendapat belas kasihan-Nya.
11 Saudara-saudara yang kukasihi, aku merayu padamu sebagai orang asing dan pendatang di dunia, jauhilah hawa nafsu yang sentiasa menyerang jiwa. 12 Amalkan kelakuan yang mulia, maka apabila orang di kelilingmu yang tidak mengenal Allah mengata kamu berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatanmu yang baik lalu memuliakan Allah pada waktu Tuhan datang kembali.
Berserah kepada pemerintah
13 Demi Tuhan berserahlah kepada pemerintah dalam kerajaan manusia, baik raja sebagai pemerintah tertinggi 14 mahupun para gabenor yang dilantiknya untuk menghukum orang yang berbuat jahat dan menghargai orang yang berbuat baik. 15 Inilah kehendak Allah, bahawa dengan berbuat baik kamu menutup mulut orang jahil dan bodoh yang hendak mengatamu. 16 Hiduplah dengan bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan untuk menutup maksiat. Hiduplah sebagai hamba Allah. 17 Hormati semua orang: Kasihi saudara-saudara seimanmu, takuti Allah, dan hormati raja.
18 Hamba, berserahlah kepada tuanmu dengan penuh hormat, bukan tuan yang baik dan lemah lembut sahaja, tetapi yang kejam juga. 19 Kamu layak dipuji jika kerana Allah kamu tabah menanggung derita akibat perlakuan yang tidak adil. 20 Apakah istimewanya jika kamu menerima dengan sabar apabila dipukul kerana kesalahanmu? Tetapi apabila kamu berbuat baik lalu menderita, jika kamu menerimanya dengan sabar, maka kamu terpuji di sisi Allah. 21 Justeru inilah kamu telah dipanggil, kerana al-Masih juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya.
 
22 ‘Dia tidak melakukan dosa,
dan lidah-Nya tidak pernah berdusta.’
 
23 Apabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil. 24 Dia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk kebenaran. Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu. 25 Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada Gembala dan Pemelihara jiwamu.