6
Tujuh orang dipilih untuk berkhidmat
Tidak berapa lama selepas itu, ketika pengikut Isa kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian. Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua pengikut Isa lalu berkata, ‘Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyebarkan firman Allah untuk melayan di meja makan. Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara-saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Suci serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu. Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan firman Allah.’
Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Suci. Di samping itu mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi. Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka.
Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan pengikut Isa di Baitulmaqdis kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman.
Stefanus ditangkap
Stefanus, yang dipenuhi iman dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan alamat di kalangan orang ramai. Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Iskandaria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus. 10 Namun, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Suci yang mengilhamkan kata-katanya.
11 Setelah itu mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, ‘Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.’
12 Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan guru-guru Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama. 13 Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, ‘Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita. 14 Kami mendengar dia berkata bahawa Isa orang Nasaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.’
15 Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.