Yahya
1
Firman menjadi insan
Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu adalah Allah. Dia bersama Allah pada permulaan.
Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Dari segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya. Hidup ada di dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. Dan Cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.
Allah mengutus seorang bernama Yahya. Dia datang untuk memberi kesaksian tentang Cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia. Dia sendiri bukanlah Cahaya itu, dia datang untuk memberi kesaksian tentang-Nya. Itulah Cahaya yang benar, Cahaya yang menerangi setiap manusia di dunia.
10 Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya. 11 Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya. 12 Namun demikian, Dia memberi hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya. 13 Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak tabii manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah.
14 Firman itu menjadi manusia dan hidup di kalangan kita. Kita melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera tunggal yang datang daripada Allah Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.
15 Yahya memberi kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, ‘Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.’ 16 Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia dan berkat. 17 Ini kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Isa al-Masih. 18 Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Yang Esa dan Ilahi yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.
Kesaksian Yahya
19 Inilah kesaksian Yahya, apabila orang Yahudi di Baitulmaqdis mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, ‘Siapakah kamu?’ 20 Yahya mengaku, ‘Aku bukanlah al-Masih’.
21 Mereka bertanya, ‘Jadi, kamu ini siapa? Ilyas?’
‘Bukan,’ jawabnya.
‘Adakah kamu nabi?’
Dia menjawab, ‘Bukan.’
22 Kemudian mereka berkata, ‘Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?’
23 Yahya menjawab, ‘Aku ini satu suara yang berseru di gurun, “Luruskanlah jalan untuk Tuhan,” sebagaimana kata Nabi Yasyaya.’
24 Di antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi. 25 Mereka terus menyoal, ‘Mengapakah kamu mengimadkan orang, kiranya kamu bukan al-Masih, bukan Ilyas dan bukan pula nabi?’
26 Yahya menjawab, ‘Aku mengimadkan dengan air, tetapi di kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali, 27 iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.’
28 Semua ini terjadi di Baitani, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yahya mengimadkan orang.
Isa, Anak Domba Allah
29 Pada keesokan harinya, Yahya melihat Isa berjalan ke arahnya lalu berseru, ‘Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! 30 Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. 31 Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan mengimadkan orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.’
32 Yahya memberi kesaksian: ‘Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. 33 Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk mengimadkan orang dengan air telah berfirman kepadaku, “Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan mengimadkan orang dengan Roh Suci.” 34 Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Putera Allah.’
Pengikut-pengikut Isa yang pertama
35 Pada hari yang berikut, Yahya berada di situ lagi bersama dua orang pengikutnya. 36 Dia melihat lagi Isa lalu di tempat itu dan dia berseru, ‘Lihatlah Anak Domba Allah!’
37 Apabila dua orang pengikut Yahya itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Isa. 38 Isa menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, ‘Apa hajatmu?’
Mereka menjawab, ‘Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?’
39 ‘Marilah lihat,’ kata Isa.
Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira pukul empat. Mereka pun tinggal bersama Isa pada hari itu.
40 Seorang daripada mereka ialah Andreas, saudara Simon Petrus. 41 Andreas segera mencari Simon dan berkata, ‘Kami telah bertemu dengan al-Masih!’ 42 Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Isa.
Isa memandang Simon lalu berkata, ‘Kamu Simon anak Yahya, tetapi kamu akan digelar Kefas.’ (Kefas sama ertinya dengan Petrus, yakni batu pejal.)
43 Pada keesokan harinya, Isa membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, ‘Ikutlah Aku.’
44 Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Baitsaida. 45 Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, ‘Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Isa anak Yusuf dari Nasaret.’
46 Tetapi Natanael berkata, ‘Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?’
‘Marilah lihat,’ balas Filipus.
47 Ketika Isa melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, ‘Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya.’
48 Natanael bertanya, ‘Bagaimana Engkau mengenal aku?’
Isa menjawab, ‘Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.’
49 Natanael berseru, ‘Tuan Guru, Engkau Putera Allah! Engkau Raja bangsa Israel!’
50 Isa berkata, ‘Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!’ 51 Isa berkata kepada mereka semua, ‘Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Putera Insan.’