Kisah Para Rasul
1
Isa dinaikkan ke syurga
Kepada Teofilus, dahulu di dalam kitabku yang pertama aku telah menceritakan segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Isa, dari awal pelayanan-Nya hingga ke hari Dia diangkat ke syurga. Sebelumnya, Dia telah memberikan perintah melalui Roh Suci kepada para rasul yang telah dipilih-Nya. Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari dan dalam berbagai-bagai cara dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah. Pada suatu hari ketika Isa bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Baitulmaqdis. Kata-Nya, ‘Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku; kerana Yahya telah mengimadkan orang dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci tidak berapa lama lagi.’
Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Isa, ‘Ya Junjungan, pada masa inikah Junjungan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?’
Dia berkata kepada mereka, ‘Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri. Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Suci datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Baitulmaqdis, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.’
Setelah Dia berkata demikian, di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka.
10 Sedang mereka merenung ke langit ketika Dia diangkat, tiba-tiba dua orang yang berpakaian putih berdiri dekat mereka. 11 Orang itu berkata, ‘Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Isa telah diangkat ke syurga dari kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak.’
Matias dipilih menggantikan Yudas
12 Setelah itu para rasul pun kembali ke Baitulmaqdis dari bukit bernama Zaitun yang dekat dengan kota itu, jaraknya sehari Sabat perjalanan. 13 Setibanya mereka di Baitulmaqdis, mereka naik ke bilik atas tempat mereka menumpang. Mereka ialah Petrus, Yahya, Yakobus, Andreas; Filipus dan Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, dan Simon, orang Patriot; serta Yudas anak Yakobus. 14 Mereka semuanya dengan sehati terus-menerus berdoa, bersama orang perempuan dan Maryam ibu Isa, serta saudara-saudara-Nya.
15 Pada masa itu Petrus berdiri di kalangan para pengikut Isa (kesemuanya yang berhimpun kira-kira seratus dua puluh orang) lalu berkata, 16 ‘Saudara-saudara, pastilah berlaku firman yang dahulu disampaikan oleh Roh Suci melalui lidah Daud tentang Yudas, yang menjadi pandu kepada orang yang menangkap Isa. 17 Dia telah dianggap sebahagian daripada kita dan diberi jawatan dalam pekerjaan kita ini.’
18 (Dia memperoleh sekeping tanah dengan upah durjananya; dia jatuh terjerumus, bahagian pertengahan tubuhnya pecah dan segala isi perutnya terburai. 19 Seluruh penduduk Baitulmaqdis mendapat tahu hal itu lalu menamakan tanah itu Hakal Dama dalam bahasa mereka, iaitu Tanah Darah.)
20 ‘Sudah tersurat dalam kitab Zabur,
 
‘ “Biarlah tempat kediamannya menjadi sepi;
Dan jangan sesiapapun tinggal di situ,” dan,
 
‘ “Biarlah orang lain mengambil jawatannya.”
 
21 Oleh itu, di antara orang yang telah berserta dengan kita sepanjang masa Junjungan Isa, keluar masuk bersama kita, 22 dari masa Isa diimadkan oleh Yahya sampailah ke hari Dia diangkat naik dari kalangan kita, seorang daripada mereka haruslah menjadi saksi di samping kita tentang kebangkitan-Nya.’
23 Mereka mencadangkan dua orang: Yusuf yang juga dipanggil Barsabas (juga dikenali sebagai Yustus), dan Matias. 24 Mereka pun berdoa, ‘Ya Tuhan yang mengetahui hati sekalian manusia, tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini Engkau pilih 25 untuk memegang jawatan ini serta menjalankan kerja kerasulan bagi menggantikan Yudas. Ini kerana Yudas telah meninggalkan jawatan dan pekerjaan ini untuk pergi ke tempat yang wajar baginya.’ 26 Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.