3
Orang lumpuh disembuhkan
Petrus dan Yahya naik ke rumah ibadat bersama-sama pada waktu sembahyang, iaitu pukul tiga petang. Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu rumah ibadat itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke rumah ibadat itu. Apabila dia melihat Petrus dan Yahya sedang hendak masuk ke rumah ibadat itu, dia pun meminta sedekah. Petrus merenungnya, bersama Yahya, lalu berkata, ‘Pandanglah kami.’ Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka.
Kemudian Petrus berkata, ‘Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Isa al-Masih, orang Nasaret, bangkit dan berjalanlah.’ Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan. Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat itu mengikut Petrus dan Yahya sambil berjalan, melompat dan memuji Allah. Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah. 10 Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah rumah ibadat itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya.
Petrus berkhutbah di rumah ibadat
11 Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yahya, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Sulaiman. 12 Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, ‘Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kewarakan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan? 13 Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub, Tuhan nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya Isa yang telah kamu serahkan dan sangkal di hadapan Pilatus walaupun dia membuat keputusan hendak melepaskan-Nya. 14 Kamu menyangkal Yang Suci dan Benar itu, serta meminta seorang pembunuh diserahkan kepadamu, 15 lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya. 16 Iman pada nama Isa telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian.
17 ‘Namun, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu. 18 Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa al-Masih akan menderita, telah ditunaikan-Nya. 19 Oleh itu bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan, dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan. 20 Dan juga supaya Dia menghantar Isa al-Masih yang telah ditentukan-Nya menjadi al-Masih bagimu. 21 Al-Masih mesti tetap di syurga hingga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulu kala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci. 22 Musa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, “Allah Tuhanmu akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku dari kalangan saudara-saudaramu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal. 23 Setiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali dari kalangan kaumnya.”
24 ‘Ya, semua nabi, dari Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini. 25 Kamu adalah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Ibrahim, “Melalui benihmu semua kaum di dunia akan diberkati.” 26 Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Isa dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu.’