2
Pilih kasih dilarang
Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Junjungan kita Isa al-Masih yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih. Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian indah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk. Kamu menyambut orang kaya itu dengan hormat sambil berkata, ‘Silakan duduk di tempat terbaik ini.’ Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, ‘Berdiri di sana’ atau ‘Duduk di atas lantai dekat kakiku.’ Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.
Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya. Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah, dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.
Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Sebaliknya, jika kamu memperlakukan orang berasaskan keadaan lahir, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum. 10 Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum, 11 kerana Allah yang berfirman, ‘Jangan berzina,’ juga berfirman, ‘Jangan membunuh.’ Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum.
12 Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukum-hukum yang membebaskan manusia. 13 Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.
Iman dan perbuatan
14 Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, ‘Aku beriman,’ jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. 15 Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan. 16 Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, ‘Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,’ jika kamu tidak menghulurkan keperluan sehari-hari itu kepadanya? 17 Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu.
18 Mungkin ada orang yang berkata, ‘Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.’ Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman. 19 Kamu beriman kepada Allah Yang Esa. Bagus! Roh-roh iblis juga beriman demikian dan gementar ketakutan.
20 Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja? 21 Apakah sebabnya Allah meredai moyang kita Ibrahim? Allah meredainya kerana perbuatannya, iaitu mempersembahkan anaknya Ishak sebagai korban kepada Allah. 22 Tidak jelaskah kepadamu bahawa Ibrahim menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Ibrahim. 23 Hal itu selaras dengan ayat di dalam Kitab Suci: ‘Ibrahim percaya kepada Allah, maka hal itu diperhitungkan kepadanya sebagai kebenaran.’ Oleh itu Ibrahim dipanggil sahabat Allah. 24 Nyatalah bahawa Allah meredai seseorang itu kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata.
25 Demikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah meredai Rahab kerana perbuatannya: Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain. 26 Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.