4
Isa bercakap dengan perempuan Samaria
Ketika Isa mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan mengimadkan lebih ramai pengikut berbanding Yahya, (sebenarnya para pengikut Isa yang mengimadkan, bukan Isa), Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula.
Dalam perjalanan-Nya itu, Isa semestinya melalui Samaria. Di Samaria, Isa sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Isa duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam yang keenam.
Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Berilah Aku minum.’ Pengikut-pengikut Isa telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
Perempuan Samaria itu menjawab, ‘Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?’ (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)
10 Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, “Berilah Aku minum,” tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.’
11 Perempuan itu berkata, ‘Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? 12 Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.’
13 Isa berkata, ‘Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; 14 tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air di dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.’
15 Perempuan itu berkata, ‘Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.’
16 Isa menjawab, ‘Pergilah dulu, bawa suamimu ke mari.’
17 Perempuan itu berkata, ‘Aku tidak ada suami.’
Isa pun berkata, ‘Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. 18 Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.’
19 Perempuan itu berkata, ‘Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. 20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Baitulmaqdis.’
21 Isa berkata, ‘Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Baitulmaqdis. 22 Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23 Akan sampai saatnya, malah sudahpun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. 24 Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.’
25 Perempuan itu berkata, ‘Aku tahu Mesias yang disebut al-Masih akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.’
26 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.’
27 Pada ketika itu para pengikut Isa pulang ke situ. Mereka hairan melihat Isa bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, ‘Apa hajatmu?’ atau kepada Isa, ‘Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?’
28 Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. 29 Perempuan itu berkata, ‘Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?’ 30 Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.
31 Sementara itu, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, silalah makan.’
32 Isa menjawab, ‘Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.’
33 Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?’
34 Isa berkata, ‘Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. 35 Bukankah kamu berkata, “Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?” Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. 36 Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. 37 Dalam hal ini benarlah pepatah, “Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.” 38 Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.’
39 Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Isa setelah mendengar perempuan itu berkata, ‘Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.’ 40 Oleh yang demikian, ketika mereka datang menemui Isa, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Isa pun tinggal di situ selama dua hari. 41 Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Isa kerana kata-kata-Nya.
42 Mereka berkata kepada perempuan itu, ‘Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah al-Masih, Penyelamat umat manusia di dunia.’
43 Selepas tinggal dua hari di Samaria, Isa ke Galilea pula, 44 kerana Isa sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri. 45 Setiba-Nya di Galilea, orang di situ menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.
Isa menyembuhkan anak pegawai kerajaan
46 Selepas itu Isa pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum. 47 Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Isa ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa Isa. Dia meminta Isa datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut.
48 Tetapi Isa berkata, ‘Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.’
49 Pegawai itu merayu, ‘Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.’
50 Isa pun berkata, ‘Pergilah, anakmu akan sembuh.’
Pegawai itu percaya akan kata-kata Isa lalu pergi. 51 Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh. 52 Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, ‘Kelmarin, pada jam yang ketujuh, dia tidak demam lagi.’
53 Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Isa telah berkata, ‘Anakmu akan sembuh.’ Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Isa.
54 Itulah mukjizat Isa yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.