13
Bertaubat atau binasa
Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Isa tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah. Isa berkata, ‘Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian? Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga. Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Baitulmaqdis? Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga.’
Ibarat tentang pokok ara yang tidak berbuah
Isa menceritakan suatu ibarat. ‘Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai. Dia berkata kepada tukang kebun, “Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?”
‘Tukang kebun menjawab, “Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja. Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.” ’
Isa menyembuhkan seorang perempuan bongkok
10 Pada hari Sabat Isa mengajar di salah sebuah saumaah. 11 Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak. 12 Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, ‘Sembuhlah daripada penyakitmu.’ 13 Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.
14 Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, ‘Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.’
15 Junjungan menjawab, ‘Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat? 16 Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?’
17 Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Isa.
Ibarat biji sesawi dan ragi
18 Isa berkata, ‘Bagaimanakah keadaan kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya? 19 Keadaannya umpama biji sesawi yang ditanam orang di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada cabang-cabangnya.’
20 Isa berkata lagi, ‘Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah? 21 Keadaannya umpama ragi dicampur oleh seorang perempuan dengan tiga gantang tepung sampai seluruh adunannya naik.’
Pintu yang sempit
22 Dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. 23 Seorang bertanya kepada-Nya, ‘Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?’
Isa menjawab, 24 ‘Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya. 25 Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, “Tuan, tuan, bukalah pintu.”
‘Tetapi dia akan menjawab, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang.”
26 ‘Kemudian kamu akan berkata, “Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.”
27 ‘Tetapi tuan itu akan berkata, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah, kamu semua yang melakukan kejahatan!”
28 ‘Di tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Ibrahim, Ishak dan Yakub bersama semua nabi di dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar. 29 Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk menikmati jamuan di dalam kerajaan Allah. 30 Sesungguhnya, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’
Keluhan Isa terhadap Baitulmaqdis
31 Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan berkata, ‘Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu.’
32 Isa menjawab, ‘Pergilah beritahu si musang, “Pada hari ini dan esok Aku mengusir roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.” 33 Namun, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Baitulmaqdis.
34 ‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam utusan-utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin menaungi semua pendudukmu seperti seekor ibu ayam melindungi anak-anaknya di bawah kepaknya, tetapi engkau tidak mahu. 35 Sekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu bahawa kamu tidak akan melihat Aku sehingga tiba masanya kamu berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” ’