17
Dosa, iman dan kewajipan seorang hamba
Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku. Lebih baik bagi dia jikalau sebuah batu kisar diikat pada lehernya dan dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah melakukan dosa. Berwaspadalah!
‘Jikalau saudaramu telah berbuat salah terhadapmu, tegurlah dia dan jikalau dia bertaubat, ampunilah dia. Jikalau dia bersalah sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, “Aku bertaubat,” kamu hendaklah mengampuninya.’
Rasul-rasul itu berkata kepada Junjungan, ‘Kuatkanlah iman kami.’
Junjungan menjawab, ‘Jikalau kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu akan dapat berkata kepada pokok ara ini, “Tercabutlah akar-akarmu dan tertanamlah kamu di laut,” dan pokok ara akan menurut perintahmu.
‘Jikalau salah seorang kamu mempunyai hamba yang membajak atau menggembalakan domba, siapakah antara kamu akan berkata kepadanya sewaktu dia pulang dari ladang, “Mari, lekas duduk makan?” Bukankah kamu akan berkata kepadanya, “Hidangkan makanan dan bersedia untuk melayaniku semasa aku makan. Selepas itu, barulah kamu makan”? Adakah kamu mengucapkan terima kasih kepada hamba itu kerana dia menurut perintah? 10 Begitu juga dengan kamu. Apabila kamu telah berbuat segala yang diperintahkan kepadamu, kamu hendaklah berkata, “Kami ini hamba yang tidak layak menerima apa-apa; kami cuma menjalankan kewajipan kami.” ’
Isa menyembuhkan sepuluh orang berpenyakit kusta
11 Dalam perjalanan Isa ke Baitulmaqdis, Dia melalui sempadan Samaria dan Galilea. 12 Apabila Dia memasuki sebuah kampung, sepuluh orang berpenyakit kusta datang bertemu dengan-Nya. Mereka berdiri jauh sedikit daripada Isa 13 dan berseru kepada-Nya, ‘Ya Isa, ya Junjungan, kasihanilah kami!’
14 Apabila Isa melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam.’ Dalam perjalanan, mereka pun sembuh.
15 Salah seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat. 16 Dia sujud pada kaki Isa dan mengucapkan terima kasih. Dia seorang Samaria.
17 Isa bertanya, ‘Sepuluh orang disembuhkan. Di manakah sembilan orang lagi? 18 Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk bersyukur kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?’ 19 Isa pun berkata kepadanya, ‘Bangunlah dan pergi. Imanmu telah menyembuhkan kamu.’
Kedatangan kerajaan Allah
20 Terdapat beberapa orang Farisi bertanya kepada Isa bila kerajaan Allah akan datang dan Isa menjawab, ‘Kerajaan Allah tidak datang dengan alamat-alamat yang dapat dilihat. 21 Tiada orang akan berkata, “Lihatlah di sini!” atau “Lihatlah di sana!” kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu.’
22 Kemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Masanya akan datang apabila kamu ingin melihat salah satu hari Putera Insan, tetapi kamu tidak dapat melihatnya. 23 Orang akan berkata kepadamu, “Lihat di situ!” atau “Lihat di sini!” Tetapi janganlah kamu pergi atau mengikutnya. 24 Seperti kilat memancar dari sebelah kaki langit ke sebelah yang lain, demikianlah juga halnya Putera Insan pada hari-Nya kelak. 25 Tetapi terlebih dahulu Dia akan mengalami banyak penderitaan dan Dia tidak akan diterima oleh orang zaman ini.
26 ‘Sebagaimana yang berlaku pada zaman Nuh, demikian juga akan berlaku pada zaman Putera Insan. 27 Mereka makan dan minum. Lelaki dan perempuan berkahwin sampai ke hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah melanda dan membinasakan mereka semua.
28 ‘Demikian juga yang berlaku pada zaman Lut. Mereka makan dan minum, berjual beli, bercucuk tanam dan mendirikan rumah. 29 Pada hari Lut keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.
30 ‘Begitulah keadaannya kelak pada hari Putera Insan menunjukkan diri-Nya. 31 Pada hari itu jikalau seseorang ada di atas bumbung rumah, janganlah dia turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Demikian juga janganlah orang yang ada di ladang kembali ke rumahnya. 32 Ingatlah akan isteri Lut! 33 Sesiapa yang cuba memelihara nyawanya akan kehilangannya, tetapi sesiapa yang sanggup mengorbankan nyawanya akan menyelamatkannya. 34 Aku berkata kepadamu bahawa pada malam itu dua orang berbaring di atas sebuah katil. Seorang akan dibawa dan seorang lagi akan ditinggalkan. 35 Dua orang perempuan bersama-sama mengisar gandum. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. 36 Dua orang lelaki bekerja di ladang. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.’
37 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah, ya Junjungan?’
Isa menjawab, ‘Di mana ada bangkai, di situ juga ada burung nasar.’