4
Godaan di padang gurun
Setelah itu Isa dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis. Isa berpuasa empat puluh hari empat puluh malam. Dia menanggung kelaparan. Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Jika Engkau Putera Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.’
Isa menjawab, ‘Telah tersurat: “Manusia hidup bukan dengan roti saja tetapi dengan setiap firman Allah.” ’
Selepas itu Iblis membawa Isa ke kota suci Baitulmaqdis dan meletakkan-Nya di puncak rumah ibadat. Iblis berkata kepada Isa, ‘Jika Engkau Putera Allah, terjunlah, kerana telah tersurat:
 
“Allah akan memerintahkan
malaikat-malaikat-Nya
menjaga-Mu dan mereka akan
menatang-Mu
supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.” ’
 
Isa menjawab, ‘Tetapi telah tersurat: “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’
Iblis membawa pula Isa ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan semua kerajaan di dunia dan kekayaannya. Kata Iblis kepada Isa, ‘Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.’
10 Jawab Isa, ‘Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya saja engkau beribadat.” ’
11 Iblis pun meninggalkan Isa dan para malaikat datang melayani-Nya.
Isa mula pelayanan di Galilea
12 Apabila mendengar bahawa Yahya telah dipenjarakan, Isa pun pergi ke Galilea. 13 Dia tidak tinggal di Nasaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. 14 Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya:
 
15 ‘Tanah Zebulon, tanah Naftali,
di pinggir laut, seberang Sungai Yordan,
Galilea, tanah bangsa-bangsa asing.
16 Bangsa yang hidup dalam kegelapan
telah melihat cahaya gemilang.
Bagi mereka yang di bawah
bayangan maut,
Cahaya telah bersinar!’
 
17 Isa pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’
Pengikut Isa yang pertama
18 Sedang Isa berjalan di pinggir laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan adiknya Andreas, sedang menjala ikan. 19 Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan mengajarmu menjala manusia menjadi pengikut-Ku.’ 20 Dengan serta-merta mereka dua beradik meninggalkan jala mereka lalu mengikut Isa.
21 Isa meneruskan perjalanan. Dia ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yahya bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Isa memanggil dua beradik itu. 22 Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Isa.
Isa menyembuhkan orang sakit
23 Isa menjelajahi seluruh wilayah Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik bahawa kerajaan Allah hampir tiba. Dia menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan di antara mereka. 24 Berita tentang Isa tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang mengidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya. 25 Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Baitulmaqdis, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.