19
Perceraian
Selepas Isa selesai berkata tentang hal-hal itu, Dia beredar dari Galilea pergi ke Yudea di seberang Sungai Yordan. Ramai orang mengikut-Nya dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.
Beberapa orang Farisi datang untuk menduga Isa. Mereka bertanya, ‘Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?’
Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan? Setelah itu Allah berfirman, “Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.” Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.’
Kata orang Farisi itu, ‘Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?’
Isa menjawab, ‘Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu. Sesungguhnya jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana isterinya melakukan pencabulan, dan lelaki itu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina.’
10 Para pengikut Isa berkata, ‘Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung.’
11 Isa menjawab, ‘Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya. 12 Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya.’
Isa memberkati kanak-kanak
13 Beberapa orang membawa kanak-kanak supaya diberkati oleh Isa dengan meletakkan tangan-Nya ke atas mereka serta mendoakan mereka. Tetapi para pengikut Isa memarahi orang yang membawa kanak-kanak itu.
14 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang masuk ke dalam kerajaan syurga.’ 15 Isa meletakkan tangan-Nya ke atas kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Kemudian Dia beredar dari situ.
Orang muda yang kaya
16 Pada suatu hari seorang pemuda datang berjumpa Isa lalu bertanya, ‘Tuan Guru, apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?’
17 Isa menjawab, ‘Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.’
18 Pemuda itu bertanya, ‘Hukum yang mana?’
Isa menjawab, ‘ “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; 19 hormati ibu bapamu; kasihi sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi diri sendiri.” ’
20 ‘Semua hukum ini telah kupatuhi,’ kata pemuda itu. ‘Adakah lagi yang harus kulakukan?’
21 Isa menjawab, ‘Jika kamu ingin menjadi sempurna, jualkanlah segala harta bendamu dan sedekahkan wang itu kepada orang miskin. Kamu akan mendapat harta di syurga. Setelah itu, ikutlah Aku.’
22 Apabila mendengar jawapan Isa, pemuda itu beredar dari situ dengan dukacita, kerana dia seorang yang kaya-raya.
23 Isa pun berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Sesungguhnya, sukar sekali bagi orang kaya memasuki kerajaan syurga. 24 Aku berkata kepadamu, lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.’
25 Para pengikut Isa hairan mendengar kata-kata itu lalu bertanya, ‘Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?’
26 Sambil memandang mereka Isa menjawab, ‘Hal itu mustahil bagi manusia, tetapi bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil.’
Upah mengikut Isa
27 Petrus berkata, ‘Kami telah meninggalkan segala-galanya dan mengikut-Mu. Apakah yang akan kami terima?’
28 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, ketika Putera Insan duduk di atas takhta-Nya yang mulia dalam kerajaan Allah, kamu pengikut-Ku juga akan bertakhta menghakimi dua belas suku Israel. 29 Setiap orang yang telah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya dan akan memperoleh hidup kekal. 30 Tetapi ramai orang yang sekarang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang sekarang terakhir akan menjadi yang terdahulu.