27
Yudas menggantung diri
Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Isa. Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus.
Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Isa telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua. Yudas berkata, ‘Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.’
Kata mereka, ‘Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!’
Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam rumah ibadat lalu pergi menggantung dirinya.
Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, ‘Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.’ Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing. Oleh itu padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini. Dengan demikian berlakulah kata-kata Nabi Yeremia: ‘Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping wang perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel, 10 lalu membeli padang untuk pengebumian orang asing, demikian firman Tuhan kepadaku.’
Isa di hadapan Pilatus
11 Gabenor bertanya kepada Isa yang berdiri di hadapannya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’
Isa berkata, ‘Begitulah seperti katamu.’
12 Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa. 13 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Tidakkah kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadapmu dalam kesaksian mereka?’ 14 Tetapi Isa tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.
15 Pada perayaan Paska, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai. 16 Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas. 17 Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, ‘Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Isa yang dipanggil al-Masih?’ 18 Gabenor mengetahui bahawa mereka telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.
19 Sedang gabenor duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, ‘Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.’
20 Tetapi ketua-ketua hakim dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Isa dibunuh.
21 Gabenor berkata kepada mereka, ‘Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?’
Mereka menjawab, ‘Barabas!’
22 Pilatus bertanya kepada mereka, ‘Jadi, apa yang harus kubuat dengan Isa yang dipanggil al-Masih?’
Kesemua mereka berkata kepadanya, ‘Salibkan Dia!’
23 Gabenor berkata, ‘Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’
Tetapi mereka berseru semakin lantang, ‘Salibkan Dia!’
24 Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, ‘Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.’
25 Kesemua mereka menjawab, ‘Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”
26 Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyesah Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
Askar mengejek Isa
27 Kemudian askar-askar gabenor membawa Isa ke balai istananya dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. 28 Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. 29 Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Isa dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, ‘Hai Raja orang Yahudi!’ 30 Selepas itu mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. 31 Setelah selesai mereka mempermainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.
Isa disalib
32 Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Isa. 33 Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. 34 Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. 35 Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaiannya dengan membuang undi, maka berlakulah seperti yang di nubuatkan:
 
‘Mereka bahagikan pakaian-Ku
antara mereka,
untuk mendapat pakaian-Ku mereka membuang undi.’
 
36 Kemudian mereka duduk berjaga di situ. 37 Di atas kayu salib Isa mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI. 38 Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. 39 Orang yang lalu di situ melemparkan kata-kata kufur kepada-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala 40 mereka berkata, ‘Engkau dapat memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Putera Allah, turunlah dari kayu salib itu.’
41 Begitu jugalah ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua, turut mengejek Isa: 42 ‘Dia telah menyelamatkan orang lain; diri-Nya sendiri tidak dapat diselamatkan-Nya. Kalau benar dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. 43 Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, “Aku Putera Allah.” ’ 44 Perompak yang disalib bersama Isa pun menghina-Nya dengan kata-kata demikian.
45 Dari tengah hari hingga tiga petang, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. 46 Kira-kira pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara yang lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ maksudnya ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’
47 Sesetengah orang yang berdiri di situ berkata, apabila mendengar seruan-Nya itu, ‘Orang ini memanggil Ilyas.’
48 Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Isa sebagai minuman. 49 Yang lain berkata, ‘Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Ilyas datang menyelamatkan-Nya.’
50 Isa berseru lantang sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.
51 Sejurus itu tirai rumah ibadat koyak dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terbelah; 52 kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang yang taat akan Allah dibangkitkan semula; 53 mereka keluar dari kubur dan selepas Isa dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.
54 Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Isa melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’
55 Ramai wanita yang telah mengikut Isa dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. 56 Antara mereka ialah Maryam Magdalena dan Maryam ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus.
Isa dimakamkan
57 Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi pengikut Isa. 58 Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Isa. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. 59 Yusuf mengambil jenazah itu dan mengkafankannya dengan kain linen yang bersih. 60 Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. 61 Ketika itu Maryam Magdalena ada di situ, begitu juga Maryam yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
62 Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. 63 Mereka berkata, ‘Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, “Selepas tiga hari Aku akan bangkit.” 64 Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, “Dia telah bangkit daripada kematian.” Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.’ 65 Pilatus berkata kepada mereka, ‘Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.’ 66 Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.