5
Gulungan naskhah dan Anak Domba
Kemudian aku melihat segulungan naskhah di tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta itu. Gulungan itu bertulis kedua-dua belah dan dimaterai dengan tujuh materai. Setelah itu kulihat dan kudengar malaikat yang gagah perkasa bertanya dengan suara lantang, ‘Siapakah yang layak memecahkan materai dan membuka gulungan naskhah ini?’ Namun, tiada seorang pun, baik di syurga, di bumi, mahupun di bawah bumi, yang terdaya membuka gulungan naskhah itu dan melihat kandungannya.
Oleh itu aku pun menangis teresak-esak kerana tiada seorang pun yang layak membuka dan membaca naskhah atau melihat kandungannya. Kemudian salah seorang tua-tua itu berkata kepadaku, ‘Jangan menangis. Lihatlah! Singa daripada suku Yahuda, zuriat keturunan yang mulia daripada Daud, telah menang. Dia dapat membuka gulungan naskhah itu dan memecahkan tujuh materai dan membuka gulungan naskhah itu.’
Selepas itu kulihat Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh keempat-empat makhluk dan para tua-tua. Anak Domba itu, yang kelihatan sudah disembelih, mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah dihantar ke seluruh dunia. Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta. Empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih. Mereka menyanyikan lagu baru:
 
‘Engkau layak mengambil gulungan
naskhah itu
dan membuka materainya
kerana Engkau telah dibunuh,
dan dengan darah kematian-Mu
Engkau telah menebus untuk Allah
manusia daripada segala suku,
bahasa, kaum, negara dan bangsa.
 
10 Engkau telah menjadikan mereka
suatu kerajaan dan imam-imam Allah
untuk menyembah Allah Tuhan kita
dan memerintah di bumi.’
 
11 Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. 12 Mereka menyanyi dengan suara yang lantang:
 
‘Anak Domba yang telah disembelih
layak menerima kekuasaan,
kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan,
kehormatan, kemuliaan
dan puji-pujian.’
 
13 Aku mendengar semua makhluk – di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi:
 
‘Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada
Dia yang duduk di atas takhta
dan kepada Anak Domba untuk
selama-lamanya.’
 
14 Keempat-empat makhluk itu menyahut, ‘Amin!’ Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu.