11
Dua saksi Allah
Kemudian aku diberi sebatang tongkat yang kelihatan seperti kayu pengukur. Lalu, seorang berkata, ‘Bangkitlah, ukur rumah ibadat Allah dan mazbah, serta hitunglah orang yang beribadat di situ. Tetapi jangan ukur halaman di luar, kerana bahagian itu telah diberikan kepada orang bangsa asing. Mereka akan melanyak kota suci selama empat puluh dua bulan. Aku akan memberikan kuasa kepada dua orang saksi-Ku dan mereka akan bernubuat selama seribu dua ratus enam puluh hari dengan memakai kain kabung.’ Inilah dua pokok zaitun dan dua kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan bumi ini. Jika sesiapa hendak mencederakan mereka, api akan keluar dari mulut mereka dan menghanguskan musuh mereka itu. Orang yang hendak mencederakan mereka itu mesti dibunuh sedemikian. Mereka mempunyai kuasa menutup langit, supaya hujan tidak turun sepanjang masa mereka bernubuat. Mereka berkuasa ke atas air dan dapat menukarkannya menjadi darah. Mereka juga berupaya menimpakan pelbagai wabak penyakit ke atas bumi sekerap yang mereka kehendaki.
Setelah mereka selesai membuat kesaksian, binatang buas dari dalam jurang itu akan memerangi, menewaskan dan membunuh mereka. Mayat mereka akan bergelimpangan di jalan raya kota agung yang dari segi rohani disebut Sodom dan Mesir, iaitu kota tempat Junjungan mereka disalib. Orang dari pelbagai kaum, suku, bahasa dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah dan tidak membenarkan mereka dikuburkan. 10 Penghuni bumi ini akan bergembira, berpesta dan berkirim-kiriman hadiah, kerana kedua-dua nabi itu telah menyeksa mereka yang tinggal di bumi.
11 Selepas tiga hari setengah, roh hayat daripada Allah memasuki mereka lalu mereka bangkit berdiri. Sekalian yang melihatnya amat ketakutan. 12 Kedua-dua nabi itu mendengar suara lantang dari langit berkata, ‘Naiklah ke sini.’ Lalu mereka naik ke langit di dalam awan, di hadapan mata musuh mereka.
13 Pada ketika itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat, memusnahkan sepersepuluh kota itu. Tujuh ribu orang terbunuh dalam gempa itu. Mereka yang masih hidup sungguh takut lalu memuliakan Allah yang berada di syurga.
14 Bencana kedua telah berlalu. Ketahuilah, bencana ketiga akan segera menyusul.
15 Kemudian malaikat ketujuh meniup sangkakalanya. Suara-suara lantang di syurga berkata,
 
‘Segala kerajaan di dunia ini telah
menjadi kerajaan Tuhan kita dan
kerajaan al-Masih-Nya,
dan Dia akan memerintah selama-lamanya!’
 
16 Dua puluh empat tua-tua yang mengadap Allah yang bersemayam di atas takhta itu sujud menyembah Allah 17 sambil berkata:
 
‘Kami bersyukur kepada-Mu,
Ya Allah Tuhan Maha Kuasa;
yang ada sekarang, yang ada dahulu dan
yang akan datang.
Kerana Engkau telah melaksanakan
kuasa-Mu yang besar lalu memerintah.
18 Bangsa-bangsa asing marah,
maka datanglah kemurkaan-Mu,
dan masanya untuk orang mati dihakimi,
dan Engkau memberi ganjaran
kepada hamba-hamba-Mu,
para nabi dan orang salih,
serta manusia kecil dan besar
yang takut akan Nama-Mu.
Dan Engkau membinasakan mereka
yang membinasakan bumi.’
 
19 Kemudian rumah ibadat Allah dibuka di syurga, dan kelihatanlah tabut perjanjian-Nya, diiringi kilat, pelbagai suara, guruh, gempa dan hujan batu yang dahsyat.