12
Perempuan dan naga
Suatu alamat besar kelihatan di langit: Seorang perempuan yang berpakaian matahari, bulan di bawah kakinya dan dua belas bintang terkalung menghiasi kepalanya. Dia sedang hamil dan sudah sampai waktunya untuk melahirkan anak, maka dia berteriak kesakitan. Lantas suatu alamat muncul di langit: seekor naga merah yang amat besar, berkepala tujuh bertanduk sepuluh, setiap kepalanya bermahkota. Naga itu mengheret sepertiga bintang di langit dengan ekornya dan menghumbankannya ke bumi. Ia menunggu di hadapan perempuan yang hendak bersalin untuk menelan anaknya sebaik-baik dia lahir. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah segala bangsa dengan perkasa. Dan anak itu dibawa ke hadirat Allah dan takhta-Nya. Perempuan itu lari ke gurun, ke tempat yang memang ditentukan Allah untuknya. Dia dijaga di situ selama seribu dua ratus enam puluh hari.
Naga dikalahkan
Kemudian perang tercetus di syurga. Mikail dengan malaikat-malaikatnya berperang dengan naga dan malaikat-malaikatnya. Naga itu tewas dalam peperangan. Ia dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. Dengan demikian tersingkirlah naga besar itu, ular purba yang bernama Iblis atau Syaitan, yang memperdaya umat manusia. Ia dan semua malaikatnya dibuang ke bumi.
Nyanyian kemenangan
10 Kemudian aku mendengar suara lantang berkata di syurga,
 
‘Sekarang penyelamatan, kekuatan, kerajaan
Allah Tuhan kita,
dan kuasa al-Masih-Nya telah tiba;
kerana penuduh saudara-saudara kita,
yang telah menuduh mereka siang
malam di hadapan Allah Tuhan kita
telah disingkirkan.
11 Mereka telah menumpaskannya dengan
darah Anak Domba
dan dengan kata-kata kesaksian mereka,
dan mereka tidak menyayangi nyawa
sendiri hingga mati.
12 Oleh itu bergembiralah wahai syurga
dan kamu semua yang tinggal
di dalamnya!
Tetapi malanglah penduduk bumi dan laut!
Iblis telah turun kepadamu,
dalam keadaan sangat berang,
kerana ia tahu masanya sudah singkat.’
Naga memburu perempuan
13 Apabila naga itu sedar ia telah dibuang ke bumi, ia pun menganiayai perempuan yang melahirkan anak lelaki itu. 14 Tetapi perempuan itu diberi sepasang sayap helang besar untuk terbang ke tempatnya di gurun. Di situ dia dijaga selama tiga tahun setengah jauh dari mata naga itu. 15 Naga itu menyemburkan air dari mulutnya seperti air bah untuk menghanyutkan perempuan itu. 16 Tetapi bumi membantu perempuan itu dengan membuka mulutnya dan menelan air bah yang disemburkan oleh naga itu. 17 Naga itu amat marah terhadap perempuan itu lalu pergi memerangi anak-anaknya yang lain, yang taat kepada perintah Allah dan mempunyai kesaksian Isa al-Masih.