YEREMIA
Kata Pengantar
Nabi Yeremia hidup pada akhir abad ketujuh dan awal abad keenam Sebelum Masihi. Selama pelayanannya yang lama sekali sebagai nabi, dia selalu memberikan amaran kepada umat Allah tentang bencana yang akan menimpa mereka kerana mereka berdosa dan menyembah berhala. Nubuat itu menjadi kenyataan pada masa Yeremia masih hidup: Raja Nebukadnezar, raja Babilonia merebut dan menghancurkan Yerusalem serta Rumah TUHAN; raja Yehuda dan sebilangan besar rakyatnya dibuang ke Babilonia. Yeremia juga bernubuat bahawa semua orang yang dibuang negeri akan kembali dari pembuangan, dan keadaan bangsa Israel dipulihkan.
Kitab Yeremia dapat dibahagi kepada beberapa bahagian seperti yang berikut: 1) Panggilan Yeremia. 2) Perkhabaran daripada Allah kepada orang Yehuda dan para penguasanya pada masa pemerintahan Raja Yosia, Raja Yoyakim, Raja Yoyakhin, dan Raja Zedekia. 3) Petikan-petikan daripada buku catatan Barukh, setiausaha Yeremia, termasuk berbagai-bagai nubuat dan peristiwa penting dalam kehidupan Yeremia. 4) Perkhabaran daripada Tuhan tentang berbagai-bagai bangsa asing. 5) Lampiran sejarah tentang kejatuhan Yerusalem, dan pembuangan ke Babel.
Yeremia seorang yang berperasaan halus. Dia sangat mengasihi bangsanya dan sama sekali tidak suka bernubuat tentang hukuman terhadap mereka. Di dalam beberapa bahagian kitab ini, dia bercakap dengan penuh perasaan tentang penderitaannya kerana dia dipanggil oleh Allah untuk menjadi nabi. Firman Tuhan bagaikan api dalam hatinya; mahu tidak mahu dia mesti menyampaikan firman itu kepada bangsanya.
Perkara yang paling indah di dalam kitab ini ialah kata-kata yang menunjuk kepada suatu masa yang akan datang. Pada masa itu akan ada suatu perjanjian yang baru dengan Allah. Umat Allah akan memegang perjanjian itu tanpa guru yang mengingatkan mereka, kerana perjanjian itu akan tertulis dalam hati mereka (31.31-34).
Kandungan
Panggilan Yeremia 1.1-19
Nubuat-Nubuat Selama Pemerintahan Raja Yosia, Raja Yoyakim, Raja Yoyakhin, dan Raja Zedekia 2.1—25.38
Peristiwa-Peristiwa dalam Kehidupan Yeremia 26.1—45.5
Nubuat terhadap Bangsa-Bangsa 46.1—51.64
Kejatuhan Yerusalem 52.1-34
Yeremia
1
Kitab ini mengandungi kata-kata Yeremia anak Hilkia, salah seorang imam dari kota Anatot di wilayah Benyamin. TUHAN berfirman kepada Yeremia pada tahun ketiga belas pemerintahan Raja Yosia putera Raja Amon di Yehuda. + Kemudian TUHAN berfirman lagi kepada Yeremia pada masa pemerintahan Raja Yoyakim putera Raja Yosia. Selepas itu, TUHAN berfirman kepada Yeremia beberapa kali sehingga tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia putera Raja Yosia. Pada bulan kelima tahun itu juga penduduk Yerusalem dibuang negeri. +
Panggilan TUHAN kepada Yeremia
TUHAN berfirman kepadaku, “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, dan sebelum engkau dilahirkan, aku sudah memilih dan melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.”
Aku menjawab, “Ya TUHAN Raja, aku tidak pandai bercakap kerana aku masih terlalu muda.”
Tetapi TUHAN menjawab, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu. Aku, TUHAN telah berfirman!”
Kemudian TUHAN menghulurkan tangan-Nya, menyentuh mulutku dan berfirman, “Dengarlah, Aku memberi engkau firman-Ku yang harus engkau ucapkan. 10 Pada hari ini Aku memberi engkau kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya, untuk membinasakan dan menggulingkannya, untuk membina dan menegakkannya.”
Dua Penglihatan daripada TUHAN
11 TUHAN bertanya kepadaku, “Hai Yeremia, apakah yang engkau nampak?”
Aku menjawab, “Sebatang dahan pokok badam.”
12 TUHAN berfirman, “Benar. Aku sedang berjagaa supaya semua yang Aku firmankan menjadi kenyataan.”
13 TUHAN bertanya lagi kepadaku, “Apa lagi yang engkau nampak?”
Aku menjawab, “Aku nampak sebuah periuk yang isinya sedang mendidih, di sebelah utara, dan periuk itu hampir terbalik ke arah sini.”
14 TUHAN berfirman kepadaku, “Malapetaka akan melimpah dari utara dan menimpa semua penduduk negeri ini, 15 kerana Aku akan memanggil semua bangsa di sebelah utara datang. Raja-raja mereka akan mendirikan takhta di pintu-pintu gerbang Yerusalem dan di sekeliling temboknya, dan juga di sekeliling kota-kota lain di Yehuda. 16 Aku akan menghukum umat-Ku kerana mereka berdosa; mereka meninggalkan Aku dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Mereka juga membuat dan menyembah berhala-berhala. 17 Bersiap-siaplah, hai Yeremia! Pergilah dan beritahulah mereka tentang semua yang Aku perintahkan kepadamu. Janganlah takut akan mereka, supaya Aku tidak menyebabkan engkau lebih takut lagi apabila engkau berhadapan dengan mereka kelak. 18-19 Dengarlah, hai Yeremia! Engkau akan ditentang oleh semua penduduk negeri ini, iaitu raja-raja Yehuda, para pegawai pemerintah, para imam, dan rakyat. Tetapi pada hari ini Aku memberi engkau kekuatan untuk menentang mereka. Engkau akan menjadi seperti kota berkubu, seperti tiang besi, dan seperti tembok gangsa. Mereka tidak akan mengalahkan engkau, kerana Aku menyertai engkau untuk melindungi engkau. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
+ 1:2 2 Raj 22.3—23.27; 2 Taw 34.8—35.19 + 1:3 2 Raj 23.36—24.7, 24.18—25.21; 2 Taw 36.5-8, 11.21 a 1:12 berjaga: Dalam bahasa Ibrani kata ini berbunyi seperti “badam”.