Kasih Allah kepada Israel
2
TUHAN menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini kepada semua orang di Yerusalem,
“Hai Israel, Aku ingat betapa setianya engkau
pada masa engkau masih muda,
dan betapa besarnya cintamu kepada-Ku
ketika engkau menjadi pengantin dahulu.
Engkau mengikut Aku melalui gurun,
melintasi tanah yang belum ditanami.
Hai Israel, engkau milik-Ku sendiri,
engkau milik-Ku yang khas.
Aku mendatangkan penderitaan dan bencana
kepada semua orang yang mencederakan engkau.
Aku, TUHAN telah berfirman.”
Dosa Nenek Moyang Bangsa Israel
Dengarlah perkhabaran TUHAN, hai keturunan Yakub, suku-suku Israel.
TUHAN berfirman,
“Apakah tuduhan nenek moyang kamu terhadap Aku?
Mengapa mereka berpaling daripada-Ku?
Mereka menyembah berhala-berhala yang sia-sia,
sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna.
Mereka tidak mempedulikan Aku,
walaupun Aku menyelamatkan mereka dari Mesir
dan memimpin mereka melintasi gurun:
tanah tandus dan bukit pasir,
tanah kering dan berbahaya,
tanah yang tidak didiami
dan tidak dilalui orang.
Aku membawa mereka ke tanah yang subur
untuk menikmati hasilnya dan segala yang baik.
Tetapi mereka merosakkan tanah-Ku;
mereka menajiskan negeri yang Aku berikan kepada mereka.
Para imam tidak bertanya,
‘Di manakah TUHAN?’
Para imam-Ku pun tidak tahu siapa Aku.
Para penguasa memberontak terhadap Aku;
para nabi berucap demi nama Baal
dan menyembah berhala yang sia-sia.”
TUHAN Menentang Umat-Nya
TUHAN berfirman,
“Oleh itu Aku akan membentangkan perkara-Ku lagi terhadap umat-Ku.
Aku akan mengemukakan tuduhan terhadap keturunan mereka.
10 Pergilah ke pulau Siprus di sebelah barat,
suruhlah orang pergi ke timur, ke tanah Kedar.
Engkau akan melihat bahawa hal seperti ini tidak pernah berlaku.
11 Tiada bangsa mana pun yang pernah menggantikan tuhannya,
walaupun tuhan-tuhan itu bukan Allah sebenarnya.
Tetapi umat-Ku telah menggantikan Aku,
Allah yang telah memberikan mereka kedudukan yang mulia,
dengan sesuatu yang tidak dapat melakukan apa-apa.
12 Oleh itu Aku memerintahkan langit bergoncang kerana ngeri,
hairan dan terperanjat,
13 kerana umat-Ku telah melakukan dua dosa:
mereka meninggalkan Aku,
sumber air pemberi hidup kepada manusia,
dan mereka menggali kolam
yang bocor dan tidak dapat menampung air.”
Akibat Ketidaksetiaan Israel
14 “Israel bukan hamba;
dia tidak dilahirkan sebagai hamba.
Tetapi mengapa dia diburu oleh musuhnya?
15 Musuhnya mengaum seperti singa terhadapnya,
dan menjadikan tanahnya tandus dan sunyi;
kota-kotanya tinggal runtuhan, dan tidak berpenghuni.
16 Orang Memfis dan Tahpanhes
telah meremukkan tengkoraknya.
17 Hai Israel, engkau sendiri menyebabkan
hal ini berlaku kepadamu.
Engkau meninggalkan Aku, TUHAN Allahmu,
semasa Aku memimpin engkau dalam perjalananmu.
18 Apakah keuntungannya engkau pergi ke Mesir
dan meminum air Sungai Nil?
Apakah keuntungannya engkau pergi ke Asyur
dan meminum air Sungai Efrat?
19 Kejahatanmu sendiri akan menghukum dirimu;
engkau terseksa kerana meninggalkan Aku.
Engkau akan insaf betapa pahitnya dan salahnya
meninggalkan Aku, TUHAN, Allahmu,
dan tidak lagi setia kepada-Ku.
Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
Israel Tidak Mahu Menyembah TUHAN
20 TUHAN Raja berfirman,
“Hai Israel, dari dahulu engkau tidak mahu mengabdi kepada-Ku;
engkau tidak mahu mentaati Aku ataupun menyembah Aku.
Di atas setiap bukit yang tinggi
dan di bawah setiap pokok hijau,
engkau menyembah dewa-dewa kesuburan.
21 Aku menanam engkau seperti pokok anggur pilihan
daripada benih yang terbaik.
Tetapi lihatlah, engkau sudah berubah!
Engkau menjadi seperti pokok anggur liar yang tidak berguna.
22 Walaupun engkau mandi dengan menggunakan banyak sabun yang kuat,
namun Aku masih nampak noda kesalahanmu.
23 Bagaimanakah engkau dapat berkata bahawa engkau tidak menajiskan dirimu,
dan bahawa engkau tidak pernah menyembah Baal?
Lihatlah perbuatanmu di lembah;
engkau telah berdosa di sana.
Engkau umpama unta liar yang berahi,
yang berlari kian ke mari, tidak terkendali,
24 lalu berlari ke gurunb yang sunyi.
Unta betina tidak dapat dikawal ketika sedang berahi.
Unta jantan yang mengingininya tidak perlu mencari-cari;
pada musim mengawan unta betina selalu ditemui.
25 Hai Israel, jangan mengejar dewa-dewa,
nanti kakimu cedera,
dan kerongkongmu kering.
Tetapi engkau berkata, ‘Tidak, aku tidak dapat kembali.
Aku mencintai dewa-dewa
dan aku mahu mengikuti dewa-dewa itu.’”
Israel Patut Dihukum
26 TUHAN berfirman, “Sebagaimana pencuri dipermalukan ketika tertangkap, demikian juga semua orang Israel akan dipermalukan, termasuk raja-raja dan para pegawai kamu, para imam dan nabi kamu. 27 Kamu semua akan dipermalukan. Kamu yang menyebut sebatang pokok sebagai bapa kamu dan sebuah bukit batu sebagai ibu kamu. Hal ini akan berlaku kerana kamu meninggalkan Aku dan tidak datang kepada-Ku. Tetapi apabila kamu dalam kesusahan, kamu memanggil Aku untuk datang menyelamatkan kamu.
28 Di manakah patung-patung dewa yang kamu buat itu? Apabila kamu dalam kesusahan, mintalah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu, jika dewa-dewa itu benar-benar sanggup! Hai Yehuda, dewa kamu sebanyak kota kamu! 29 Apakah sungutan kamu? Mengapakah kamu melawan Aku? 30 Sia-sia sahaja Aku menghukum kamu, kerana kamu tidak mahu menerima pengajaran-Ku. Seperti singa yang sedang mengamuk, demikianlah kamu membunuh para nabi kamu. 31 Hai umat Israel, dengarlah akan firman-Ku ini. Pernahkah Aku seperti gurun bagi kamu atau seperti tanah yang gelap dan berbahaya? Tetapi mengapakah kamu berkata bahawa kamu mahu ikut kehendak sendiri, dan tidak mahu kembali kepada-Ku lagi? 32 Adakah gadis yang lupa akan perhiasannya, atau pengantin perempuan yang lupa akan baju pengantinnya? Tetapi umat-Ku telah lupa akan Aku lama sekali - jumlah harinya tidak terhitung lagi. 33 Kamu sangat pandai mencari jalan untuk memikat hati kekasih. Perempuan yang paling jahat pun masih dapat belajar kejahatan daripada kamu! 34 Pakaian kamu dinodai darah orang miskin dan orang yang tidak bersalah, bukan darah pencuri yang tertangkap.
Namun demikian, 35 kamu masih berkata, ‘Aku tidak bersalah; tentu TUHAN tidak murka lagi kepadaku.’ Tetapi Aku, TUHAN akan menghukum kamu kerana kamu tidak mahu mengakui dosa kamu. 36 Kamu telah merendahkan harga diri kerana pergi kepada dewa-dewa bangsa lain. Kamu akan dikecewakan oleh Mesir, sebagaimana kamu dikecewakan oleh Asyur. 37 Kamu akan meninggalkan Mesir dengan kepala tertunduk kerana kecewa dan malu. Aku, TUHAN, telah menolak mereka yang kamu harapkan; kamu tidak akan mendapat keuntungan apa-apa daripada mereka.”
b 2:24 berlari ke gurun; Naskhah Ibrani: seekor keldai liar yang biasa tinggal di gurun.